Zaini Ujang meninggalkan perkhidmatan awam setelah 37 tahun mengabdikan diri kepada dunia akademik dan pentadbiran negara.
KUALA LUMPUR – “Saya akan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dari jauh, memberi sokongan kepada rakan-rakan dalam dunia akademik. Jikalau diperlukan, saya akan datang membantu.”
Begitulah pesan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), Datuk’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebelum mengetik perakam waktu buat kali terakhir petang Jumaat lalu meninggalkan perkhidmatan awam setelah 37 tahun mengabdikan diri kepada dunia akademik dan pentadbiran negara.
Suasana di lobi KPT itu bertambah syahdu apabila beliau turut menitipkan pesan agar para warga KPT meneruskan usaha dan kerja kuat serta sokongan tidak berbelah bahagi seperti yang beliau terima selama ini kepada bakal KSU KPT baharu.
Sesi itu telah disaksikan oleh ratusan warga KPT diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian yang telah berkumpul di lobi kementerian  bagi memberikan penghormatan kepada seorang tokoh yang telah mencorakkan landskap pendidikan tinggi Malaysia dengan visi dan kepimpinan luar biasa.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Zaini Ujang kembali ke KPT pada 13 Februari 2024.
Zaini memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada tahun 1988 sebelum melangkah ke dunia pentadbiran dengan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termuda di usia 43 tahun (2008-2013).
Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha II di Kementerian Pendidikan Malaysia (2013-2015) sebelum dilantik sebagai KSU KPT buat kali pertama pada 29 Julai 2015 hingga 5 Ogos 2016.
Selepas itu, beliau meneruskan perkhidmatan sebagai KSU di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia dan akhirnya di Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum kembali ke KPT pada 13 Februari 2024.
Biarpun berkelayakan sebagai seorang pakar air dan alam sekitar, namun sumbangan beliau yang merentas sektor membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin teknokrat yang berwawasan dan berimpak tinggi.
Malah kepimpinan dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (pencapaian ilmiah); penerima Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M serta penerima anugerah berprestij Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun pada tahun 2022.
Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama Zaini Ujang.
Beliau turut menulis lebih 51 buah buku, 300 kertas akademik, lebih 2,000 artikel dalam media massa dan mendaftarkan 21 harta intelek.
Pada masa yang sama, beliau sohor di arena puisi tanah air dengan karya bertemakan alam.
Sungguh pun sebak, warga KPT tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman, merakam gambar dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada  Zaini.
Dengan langkah perlahan tetapi penuh makna, Zaini meninggalkan lobi KPT, diiringi doa dan penghargaan ikhlas daripada mereka yang pernah merasai legasi kepimpinannya.
“Terima kasih dan sekalung penghargaan daripada kami semua, warga KPT kepada YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Selamat bersara, semoga diberikan kesihatan dan kebahagiaan bersama yang tersayang. Sampai kita berjumpa lagi pada masa akan datang,” tulis KPT di Facebook rasmi miliknya di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast