KUALA LUMPUR – Hasil analisis data Banci Pertanian tahun lalu akan digunakan untuk penerbitan statistik pertanian secara berkala selain merangka, memantau dan menilai program meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dalam masa yang sama analisis berkenaan akan digunakan untuk mengemas kini indikator pertanian dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pertanian, serta pembangunan Indeks Harga Input Pertanian dan Indikator Keterjaminan Makanan Negara.

“Penggunaan data yang tepat dan relevan membolehkan sumber terhad diagihkan secara cekap dan berkesan, sekali gus meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad (Perikatan Nasional) mengenai status terkini analisis data Banci Pertanian 2024.

Hassan turut bertanya bagaimana hasil bancian akan digunakan untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Mengulas lanjut Arthur berkata, status terkini analisis data Banci Pertanian 2024 adalah pada peringkat pemuktamadan dapatan awalan banci.

Banci Pertanian 2024 yang dilancarkan pada 4 Julai tahun lalu bertujuan membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).

Selain itu ia boleh diintegrasikan dengan data pentadbiran daripada kementerian serta agensi berkaitan bagi menghasilkan pangkalan data lebih komprehensif dan bersepadu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast