KUALA LUMPUR – Naib pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas kritikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal yang dibangkitkan ketika Kongres Kebangsaan DAP, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, Pas telah bersetuju dengan cadangan tersebut sejak 26 tahun dahulu.
“Saya minta supaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengingat kembali sejarah Pas pada 26 tahun lalu. Pas yang bersekutu membentuk gagasan Barisan Alternatif (BA) bersama-sama DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM ketika itu telah mencadangkan idea serupa menjelang PRU 1999.
“Menjengah PRU 2004 pula, Pas dan PKR (setelah Parti Keadilan bergabung dengan PRM) telah sekali lagi membuat cadangan yang sama. Untuk rekod, mari saya ingatkan Hadi juga bahawa pada PRU 2004 hanya ada gabungan Pas dan PKR sahaja. Ini kerana DAP ambil keputusan meninggalkan BA di penghujung 2001.
“Maksud saya, semasa mengulangi cadangan menghadkan tempoh PM menjelang PRU 2004, ia adalah keputusan gabungan dua parti iaitu Pas dan PKR; Tanpa DAP!
“Dalam dua momen bersejarah tersebut, tidak timbul segala macam alasan sepertimana dibangkitkan Hadi semalam.
“Jadi, apa yang dikemukakan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam kongres parti baru-baru ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Ia turut pernah menjadi dukungan Pas pada PRU 1999 dan 2004,” Katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut menasihatkan Ahli Parlimen Marang itu mencermin diri dan tidak menggunakan dalil untuk kepentingan peribadi.
“Saya nasihatkan Hadi, cerminlah ke muka sendiri. Tidak elok menggunakan dalil-dalil demi kepentingan politik peribadi. Semasa mahu, anda berdiam diri.
“Apabila tidak mahu, seribu satu dalil dicari dan digali. Ini bukan sifat politik matang dan sejahtera seperti dilaungkan Pas.
“Bagi saya, tak perlu bersusah payah untuk menjawab tulisan Hadi lagi. Sebaliknya, Hadilah yang perlu ‘melawan lupa’ terhadap sikapnya yang diambil 26 tahun dulu,” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesyorkan kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Katanya, ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.
Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Anwar berkata, proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette