Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

PEKAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada seluruh umat Islam di negeri ini, agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah yang menyucikan jiwa dan melengkapi amalan Ramadan.

“Zakat Fitrah yang merupakan kewajipan yang sering dipandang ringan. Ia bukan sekadar rukun Islam, tetapi lambang keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius.

“Semoga zakat yang ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata,” titah baginda.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 orang penerima termasuk asnaf, institusi masjid, pusat pengajian dan saudara baru di negeri ini.

Titah Al- Sultan Abdullah ia sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan di sini, semalam.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru seluruh rakyat Pahang agar menyambut lebaran tidak lama lagi dengan kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang.

“Saban tahun, pembaziran sentiasa berlaku apabila masuknya bulan Ramadan. Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan ramadan pada tahun 2023 yang lalu, dan angka ini melonjak menjelang hari raya.

“Ingatlah, setiap sen yang dibelanjakan berlebihan, setiap juadah yang dibazirkan, itu bukan cerminan islam yang sebenar,” titahnya menerusi kenyataan Facebook Kesultanan Pahang.

Sultan Pahang turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Jadilah pemandu yang berhati, dan tidak mementingkan diri. Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan yang tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan.

“Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati dalam bergaya, utamakanlah keselamatan, hargailah keluarga dan insan tersayang.  Kerana itulah, sebenar-benar makna hari raya”.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here