Orang awam mengambil kesempatan menziarahi kubur selepas selesai pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 15 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat dikebumikan dalam penuh istiadat penghormatan negara di Makam Pahlawan Masjid Negara pukul 2.30 petang ini.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) semalam disemadikan berhampiran pusara pemimpin serta tokoh kenamaan negara yang lain.

Terdahulu, lebih 3,000 hadirin termasuk pemimpin negara, orang kenamaan serta orang awam menyertai solat jenazah untuk negarawan itu yang disempurnakan di Dewan Solat Utama selepas solat Zohor yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli keluarga allahyarham dan rakyat biasa.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni (tengah) mengimamkan solat Jenazah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 15 APRIL 2025

Selesai solat jenazah, keranda allahyarham yang dibaluti Jalur Gemilang dibawa oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Dewan Solat Utama ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.

Anggota tentera mengusung jenazah bekas Perdana Menteri ke 5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk proses pengebumian di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 APRIL 2025

Solat jenazah serta talkin dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berintegriti tinggi.

Allahyarham telah memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009 meninggalkan legasi yang besar dalam pembangunan negara termasuk inisiatif seperti NCER, J-QAF dan industri halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here