Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah bersama mangsa letupan paip gas meninjau penempatan sementara pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa insiden letupan paip gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2025

SEPANG – Penduduk yang terlibat dalam tragedi letupan paip gas di Kampung Tengah, Putra Heights mampu menarik nafas ‘sementara’ apabila kerajaan menawarkan rumah sementara untuk diduduki dalam tempoh beberapa bulan.

Dua mangsa yang ditemui MalaysiaGazette menyifatkan bantuan penempatan sementara di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan di sini bukan sekadar tempat berteduh sebaliknya ia tanda permulaan baharu.

Bagi Muhammad Ridzuwan Salehhudin, rumah sementara ini membawa makna mendalam selepas detik cemas yang masih segar dalam ingatannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat. Rumah ini besar dan selesa. Sekarang ini susah nak cari rumah macam ini. Saya sendiri dengan pendapatan tidak tetap dan isteri tidak bekerja, sememangnya sukar mencari wang sampingan bagi tampung semua lagi-lagi selepas bencana seperti ini.

“Walaupun rumah kami di Kg Tengah itu tidak begitu teruk seperti lain yang hampir ‘total lost’ namun rumah itu tidak boleh duduki serta perlu diperbaiki dengan kos melebihi RM20,000.

“Polis pun cakap sendiri, risiko duduk di rumah lama kami tinggi. Cermin pecah, bumbung dan pintu pun tak selamat. Orang nak masuk pun tak payah pecah, boleh terus masuk,” katanya.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah menyerahkan kunci rumah kepada mangsa letupan paip gas pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa insiden letupan paip gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2025

Bekerja sebagai pemandu teksi, Ridzuwan berkata, lokasi baharu ini sangat memudahkan rutin hariannya.

“Saya cadang untuk menetap di sini (Kota Warisan) sekurang-kurangnya lima tahun, jika diberi peluang untuk meneruskan sewaan selepas tempoh bantuan tamat.

“Unit ini rumah baharu, siap dua lot parkir, ada kipas, lampu, air, elektrik. Sewa pun mampu bayar, tanpa deposit. Saya rasa lega sangat bila tengok rumah ni,” ujarnya dengan penuh emosi.

Sementara itu, Abu Samah Rahmat, 58,  turut menyatakan rasa syukur kerana menerima rumah yang lebih selamat dan lengkap selepas rumah asalnya turut mengalami kerosakan akibat letupan.

“Rumah lama masih boleh duduk, tapi pintu semua pecah. Sekarang tunggu bantuan untuk baiki. Jadi bila dapat rumah ini, rasa gembira juga. Rumah baru, ada tiga bilik, dua bilik air, kira sangat selesa,” katanya.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah bersama mangsa letupan paip gas meninjau penempatan sementara pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa insiden letupan paip gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2025

Abu Samah yang bekerja sebagai kontraktor berkata, rumah tersebut lebih dekat dengan tempat kerjanya, sekali gus menjimatkan masa dan kos.

“Kami sekeluarga ada lima orang, tapi yang akan tinggal sini dalam empat orang dulu. Yang penting, ada tempat tinggal yang lebih selesa buat sementara,” ujarnya -MalaysiaGazette

Kerajaan nafi beri rumah sementara kepada mangsa Putra Heights di lokasi terpencil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast