JOHOR BAHRU – Peruntukan RM300 juta akan disalurkan bagi meningkatkan liputan 5G di kawasan strategik di Johor terutama di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).
Jelasnya, menerusi peruntukan itu pelbagai inisiatif baharu akan dirangka MCMC bagi manfaat negeri itu bagi tempoh masa dua tahun.
“Kerjasama strategik ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri seperti Johor meningkatkan kebolehcapaian internet dan memberi penegasan kepada usaha pendigitalan.
“Selain itu, ia bagi meningkatkan fahaman dalam kalangan rakyat mengenai isu keselamatan dalam talian atau keselamatan internet.
“Ia akan membabitkan beberapa fasa tetapi yang pastinya kita akan melihat aspek liputan internet yang mana kita mahu pastikan terutamanya kawasan JS-SEZ mendapat liputan internet yang mencukupi dan juga teknologi 5G dapat dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Johor dengan MCMC di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
Pertukaran MoU itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani mewakili Kerajaan Negeri Johor dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din mewakili suruhanjaya itu.
Berangkat menyaksikan sesi pertukaran MoU itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Sementara itu, antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan menerusi MoU berkenaan adalah pembangunan infrastruktur digital, pembangunan kapasiti rakyat dan pelaksanaan program kesedaran siber.
Difahamkan, perluasan liputan 5G akan dilaksanakan di kawasan berimpak tinggi termasuk pusat transit awam dan kemudahan sukan, kawasan perindustrian, tempat tumpuan pelancong dan kawasan projek pusat data di Johor bagi menyokong dan merancakkan transformasi ekonomi dan digital Johor.- MalaysiaGazette