KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke Makam Pahlawan di Masjid Negara bagi menziarahi pusara bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Orang Besar Istana dan kerabat diraja Selangor.
Sultan Sharafuddin menyiram air mawar serta menabur bunga pada pusara negarawan itu seusai majlis tahlil dan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir .
Hadir sama, anak Allahyarham iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah, Nori Abdullah serta menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Baginda kemudiannya turut berkenan menziarahi pusara bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Abdullah meninggal dunia pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 14 April lepas.
Abdullah merupakan perdana menteri kelima apabila dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menerusi Facebook Selangor Royal Office menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah sebagai seorang negarawan yang berdedikasi dan sentiasa tenang.
Atas sumbangan jasa dan bakti, Allahyarham Tun Abdullah dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) pada 2000 oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. – MalaysiaGazette