SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah sejak penubuhannya 1994 iaitu sebanyak RM1.22 bilion, kenaikan 9.0 peratus atau RM1.12 billion berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Khaidzir Shahari berkata, zakat pendapatan kekal penyumbang utama sebanyak RM712 juta atau 58 peratus daripada keseluruhan kutipan.
Manakala zakat perniagaan mencatatkan kutipan sebanyak RM199 juta; zakat simpanan (RM130 juta); zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).
“Prestasi kutipan ini adalah bukti kepercayaan berterusan lebih 380,000 pembayar zakat serta iltizam LZS dalam mengurus dana zakat secara berintegriti dan berimpak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat LZS Bagi Tahun 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Mohd Khaidzir berkata, kutipan zakat melalui saluran Direct Debit mencatatkan pertumbuhan tertinggi antara semua saluran kutipan, dengan peningkatan 60 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM1.4 juta.
“Manakala potongan gaji terus menjadi saluran pembayaran tertinggi dengan kutipan RM546 juta (45 peratus).
“Lonjakan ini menggambarkan kesediaan pembayar zakat untuk beralih kepada kaedah yang lebih konsisten dan mudah,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Mohd Khaidzir turut mengumumkan agihan zakat sebanyak RM1.19 bilion pada tahun lalu kepada lebih 370,000 asnaf meliputi lapan kategori di seluruh Selangor.
Jelas beliau, jumlah agihan itu meningkat 3.0 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.15 bilion.
Menurutnya, kategori asnaf fakir dan miskin merupakan penerima zakat paling tinggi iaitu RM707 juta bersamaan 60 peratus daripada jumlah agihan keseluruhan.
“Ini mencerminkan fokus berterusan LZS terhadap kelompok yang paling memerlukan di Selangor.
“Agihan zakat ini telah menyantuni lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin sepanjang tahun 2024, peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun 2023,” tambah beliau.
Mohd Khaidzir menambah, dengan prestasi terkini, LZS telah mencapai kutipan zakat melepasi paras RM1 bilion untuk tahun ketiga berturut-turut.
Dalam pada itu katanya lagi, LZS mengunjur sebanyak RM1.328 bilion untuk kutipan zakat pada tahun ini.- MalaysiaGazette