Mohamad Taufiq

JOHOR BAHRU – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail mahu memfokuskan kepada parti selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini memutuskan tidak ada pemilihan semula peringkat cabang.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata, tumpuannya selepas ini adalah untuk memimpin cabang berkenaan ke arah yang lebih baik termasuk persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

“Fokus juga adalah untuk pilihan raya umum (PRU), PRN akan datang. Saya mengucapkan berterima kasih yang tidak terhingga kepada jentera, rakan sepasukan dan wanita cabang Johor Bahru yang bertungkus-lumus memenangkan kami.

“Tidak lupa juga kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan MPP yang telah lakukan sehabis baik untuk pastikan pemilihan kali ini dilakukan secara adil.

“Ini termasuk apabila Presiden PKR sendiri dalam mesyurat MPP melantik orang luar (Juru Audit Digital Antarabangsa) untuk memastikan segala bantahan dan aduan yang diutarakan dilayan secara baik dan saksama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, keputusan MPP tersebut muktamad hasil mesyuarat petang semalam setelah berpuas hati mendengar pembentangan daripada JPP dan laporan Juru Audit Digital Antarabangsa.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak fokus kepada Kongres Tahunan untuk 2024 dan 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada 22 hingga 24 Mei ini.

MPP hari ini memutuskan untuk mengesahkan Keputusan Pemilihan 2025 di peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK), wanita dan AMK cabang untuk kesemua 220 cabang yang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengemukakan bantahan terhadap keputusan pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, 20 April lalu yang menyaksikannya kalah kepada Taufiq.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru tetap dengan pendirian mempertahankan kemenangannya kerana mendakwa mempunyai bukti.

Dakwanya, ia berdasarkan keputusan tidak rasmi dengan 949 undi yang diumumkan adalah dipandu dengan Borang 14, senarai nama undian dan ejen mengundi yang cekap sepanjang pemilihan.

Susulan itu pada 23 April lalu, Taufiq pula mengemukakan bantahan terhadap tindakan Akmal kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa.

Taufiq juga meminta Akmal untuk berlapang dada dan menerima keputusan akar umbi susulan kekalahan pemilihan tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast