Datuk Seri Dr Mujahid Yusof .

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan sidang khas Dewan Rakyat hari ini membawa isyarat baik di sebalik krisis adanya peluang untuk memperkukuhkan konsensus politik peringkat nasional.

Pandangan itu dilontarkan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyifatkan isu berkenaan menghimpunkan semua pihak rentas blok politik ke arah satu naratif besar iaitu mempertahankan maruah dan kehormatan negara.

Katanya, ia adalah satu contoh secara domestik, peluang kedaulatan ekonomi yang terjejas mampu menyatukan ahli politik yang dilihat selama ini menjadi punca kepada perpecahan.

“Ucapan back-benchers (ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan) dan Ketua Pembangkang mewakili hasrat konsensus ini di mana asas konsensus ini berligar seputar memelihara kepentingan nasional seperti undang-undang negara, kedaulatan menentukan kepentingan pemain industri tempatan dan kebajikan rakyat.

“Parlimen turut sama secara konsensus melihat perlunya peluang platform baharu yang lebih terbuka serta mengukuhkan hubungan pasaran ekonomi ASEAN + China+ Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan antara negara-negara ASEAN,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara menerusi kenyataan.

Mujahid berkata, semua pihak bersetuju Malaysia harus mengambil sikap diplomatik dalam rundingan bagi mengimbangi sikap terbuka dalam peperangan perdagangan Amerika-China.

Ujarnya, kedua-duanya adalah rakan utama perdagangan Malaysia dan ia satu perkara yang perlu ditangani umpama menarik “rambut dalam tepung”.

“Malah idealisme konsep perpaduan harus diterjemahkan kepada konsensus lain seperti dalam isu-isu 3R, isu-isu kebajikan rakyat dan isu keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia pernah melalui konsensus dalam isu pandemik Covid-19 walaupun ada juga pihak yang mengambil kesempatan politik untuk menggugat demokrasi berparlimen.

Katanya lagi, pasca PRU-15 memberi peluang kepada lahirnya konsensus politik tetapi, tidak dapat memenuhi keseluruhan titah Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu.

“Apakah perbahasan tarif sebagai reaksi terhadap tindakbalas Presiden Donald J. Trump di Parlimen hari ini satu peluang mencetuskan konsensus dan menyatukan ahli-ahli politik untuk menjamin kestabilan dan kedaulatan negara?

“Jikalau semua blok politik dapat mendidik penyokong masing-masing dengan naratif yang mereka sampaikan dalam sesi Parlimen hari ini, politik kita akan menjadi lebih matang, objektif dan menuju ke titik tengah yang sangat diperlukan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast