Sahabat mangsa, Mohamad Faisal Abdullah yang terselamat ketika kejadian.

KUANTAN – Laungan “tolong” oleh Wan Izani Wan Mohd Samsudin merupakan jeritan yang tidak akan dilupakan sahabat baiknya, Mohamad Faisal Abdullah, ketika detik-detik terakhir mereka di Pasir Puteri, Sungai Lembing, di sini Rabu lepas.

Mohamad Faisal, 30, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan ia merupakan kali terakhir Izani, 29, dilihat sebelum hilang dihanyut arus deras sungai itu.

Mohamad Faisal berkata, pada hari kejadian asalnya dia merancang bersama keluarga seramai 20 orang ke kawasan Air Terjun Sungai Panching, namun kawasan peranginan itu ditutup pada jam 4 petang.

Dia kemudian  mengajak mereka sekeluarga ke lokasi terbabit untuk mandi sungai dan berehat.

Sejurus tiba di lokasi, dia dan Izani terus turun ke sungai untuk melihat kedalaman air sungai itu.

“Dia (Izani) yang mula-mula ajak saya ke kawasan air di seberang beting pasir tu selepas kami mencuba paras air sungai. Saya pun tak cakap banyak terus ikut dia.

“Tapi tiba-tiba dia hanyut. Saya sempat bergantung pada kayu. Tengok dia dah terkapai-kapai. Kemudian dengar kali terakhir dia jerit ‘tolong’.

“Abang ipar saya ketika itu berlari kepada dia. Tapi apabila sampai dalam jarak sedepa, dia terus hilang,” katanya ketika ditemui di sini pagi ini.

Bercerita lanjut, Mohamad Faisal,30, menyifatkan mereka sudah seperti adik beradik kerana Izani tinggal di rumah dia sekeluarga di Kampung Balok Makmur sejak kira-kira setahun lepas.

Izani yang berasal daripada Machang, Kelantan juga bekerja di kedai makan di Balok bersamanya.

Lebih menyedihkan, dia berkata, mereka ada merancang untuk bercuti ke Pulau Redang bulan depan dan mula menyediakan barang dan kelengkapan bagi tujuan tersebut.

“Dia sudah membeli kelengkapan seperti kasut, pakaian dan beg kalis air sebagai persediaan. Tapi, katanya barang-barang itu akan digunakan oleh saya.

“Sekarang barulah saya terfikir, itu seolah-olah tanda dia akan pergi selamanya sebelum percutian kami,” katanya menahan sebak.

Izani disifatkan sebagai seorang yang peramah namun, Mohamad Faisal memberitahu, sejak tiga hari lepas, peribadinya itu seperti berubah.

Katanya, Izani menjadi pendiam dan banyak termenung.

Sementara itu, ibu kepada Izani iaitu Saadiah Botok, 68 berkata, dia bergegas dari Machang, Kelantan sejurus menerima perkhabaran anak bongsunya itu lemas di sungai tersebut.

Saadiah Botok

“Saya terkejut dapat panggilan pukul 5.30 petang hari itu mengatakan anak saya lemas. Lepas maghrib terus datang sini.

“Dia jumpa makcik kali terakhir Jumaat lepas sebab dia balik ke Machang selama dua hari. Dan ada kain bajunya tertinggal. Terdetik juga hairan dia tertinggal baju di sini,” katanya.

Dia juga memberitahu, Izani kelihatan murung dan banyak tidur kali terakhir anaknya itu pulang ke kampung.

Mengimbas kembali, Saadiah berkata, Izani lebih kerap berhubung dengannnya menerusi pesanan ringkas dalam tempoh sebulan ini, tidak seperti sebelumnya.

Dia sama sekali tidak menyangka itu merupakan kali terakhir dia dapat meluangkan masa dengan anaknya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast