Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP- DPK bagi tahun 2024 di Hotel The Everly, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) – Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2024 sebanyak 10 peratus.

Kadar tersebut merangkumi tujuh peratus dividen dan tiga peratus bonus untuk pelaburan sehingga 100,000 unit pertama manakala hibah sebanyak 0.75 peratus diberikan kepada akaun simpanan Al-Wadiah DPK.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu berkata, DPK bukan sahaja telah berjaya melaksanakan fungsi sebagai pemegang amanah dana, malah telah membuktikan bahawa dengan pengurusan yang cekap, telus dan progresif.

Menurut beliau, ia menunjukkan dana peladang juga mampu menjana pulangan yang mampan dan konsisten.

“Saya dimaklumkan bahawa prestasi DPK bagi tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan termasuk dari segi keuntungan, jumlah aset serta pengagihan manfaat kepada pelabur.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap struktur pentadbiran dan dasar pelaburan yang diterajui oleh DPK semakin kukuh dari tahun ke tahun,” kata
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan – NAFAS bagi tahun 2024 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, usaha DPK melebarkan sayap ke dalam portfolio pelaburan yang pelbagai seperti tawaran awam permulaan (IPO) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), projek pertanian moden dan perkhidmatan kewangan khusus turut membuktikan bahawa peladang juga mampu menjadi pemain ekonomi dalam ekosistem lebih luas.

Beliau berkata, pihaknya amat menyokong usaha ini, namun dalam masa yang sama, saya ingin menyeru agar DPK tidak terlalu selesa dengan pencapaian semasa tetapi mestilah terus agresif dalam meneroka ruang pelaburan baharu.

“Dalam lanskap pelaburan semasa, kita lihat institusi seperti Bank Rakyat telah mengumumkan dividen melebihi 17 peratus, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga mencatatkan pulangan yang sangat memberangsangkan untuk pencarum.

“Saya berpandangan, sudah sampai masanya untuk DPK memperluas jaringan kerjasama pelaburan, mungkin dengan institusi kewangan lain, syarikat teknologi pertanian, atau pelaburan hijau yang kini sedang meningkat naik,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad turut menekankan agar ketelusan, ketekunan, dan prinsip pematuhan syariah terus dikekalkan dalam sebarang keputusan pelaburan yang dilaksanakan.

“DPK juga perlu memastikan bahawa sebarang pengembangan portfolio tidak menggugat asas kepercayaan pelabur, terutamanya ahli peladang yang telah sekian lama menyokong skim ini.

“Saya percaya, dengan bimbingan serta pengawasan NAFAS, DPK mampu melonjak sebagai entiti pelaburan yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga berwibawa dan dihormati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast