Seorang lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah premis menjual gajet dan telefon bersama rakannya di Seksye 16, Shah Alam, Selangor pada 7 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima… pic.twitter.com/LRBOveQxni
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) May 21, 2025
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah premis menjual gajet dan telefon bersama rakannya di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor pada 7 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pemilik premis terbabit.
“Pengadu mendapati premis miliknya telah dipecah masuk ketika tiba di tempat kejadian sekitar jam 12.01 tengah hari dan pemeriksaan mendapati beberapa barangan eletronik dan gajet telah hilang disyaki dicuri.
“Pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar terutup (CCTV) mendapati, dua suspek lelaki masuk ke premis itu memakai topi dan pelitup muka dan melarikan barangan tersebut.
“Kemudian, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Honda City warna maroon menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian lebih RM60,000 dan bertindak atas maklumat seorang lelaki telah ditahan dipercayai terlibat kes itu.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun telah dicekup sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur dan kita sedang mengesan seorang lagi rakan suspek,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Fairuz Abdullah di talian 014-649 4430 atau hubungi IPD Shah Alam di talian 03-55202222,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan sebuah premis dipecah masuk dua individu hingga seorang lelaki yang merupakan pemilik premis terbabit mengalami kerugian ribuan ringgit. – MalaysiaGazette