JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan keyakinannya bahawa Pemilihan PKR kali ini tidak akan menyaksikan sebarang perpecahan seperti yang berlaku pada pemilihan 2022 lalu.
Menurut beliau, proses pemilihan dijangka berjalan dengan lancar tanpa insiden tidak diingini seperti kekecohan, pergaduhan atau kejadian “kerusi terbang” yang sebelum ini mencemari proses demokrasi parti.
“Insya-Allah, kita harapkan pemilihan kali ini lebih baik. Tidak akan berlaku lagi insiden buruk seperti di Melaka pada 2022. Sebaliknya, kita akan peroleh perpaduan dan semangat bersatu hati,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Fahmi turut berkongsi pengalamannya ketika bertemu ahli-ahli akar umbi, termasuk di Langkawi, yang menunjukkan semangat setiakawan dan keinginan untuk memperkukuh parti demi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melaksanakan agenda reformasi di peringkat Persekutuan.
“Meskipun daripada kumpulan berbeza, kami duduk semeja dan berbincang demi kekuatan parti. Ini petanda baik bahawa semua pihak mahu melihat PKR terus utuh dan bersatu,” tambah beliau.
Sidang media itu diadakan selepas Fahmi menghadiri sesi taklimat kepada media sempena permulaan Pemilihan PKR yang dimulakan malam ini dengan perasmian sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung PKR, Fudziah Saleh, selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli membatalkan kehadirannya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menjelaskan bahawa parti mempunyai pendekatan tersendiri bagi menyantuni calon-calon yang tidak berjaya dalam pemilihan sesi 2025 hingga 2028.
“Saya percaya selepas pemilihan ini dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang-cabang negeri untuk rapatkan saf, eratkan semula silaturahim.
“Parti sentiasa fikir cara untuk kumpul, rangkum dan dibawa bersama seluruh kekuatan dan akan disediakan ruang dan peluang, mungkin jawatan atau fungsi tertentu (kepada calon tewas) supaya semua yang bertanding masih boleh bersama perti sumbang idea dan tenaga terutama di peringkat pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette