Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kemudahan kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk membuat pilihan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal susulan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Sehubungan itu, KPT dalam satu kenyataan meminta setiap IPT membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26 hingga 28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian bagi memastikan warganya tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik.

Menurutnya, pelajar dan warga IPT yang terkesan turut boleh berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

“Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada warga untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat bermula esok hingga 28 Mei ini, bagi memastikan kelancaran trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut membenarkan sebanyak 71 buah sekolah di sekitar Lembah Klang melaksanakan PdPR pada 26 hingga 28 Mei susulan penutupan jalan sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast