KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 23 Jun hingga 31 Julai ini ke tarikh 21 Julai hingga 28 Ogos depan.
Menurutnya, penangguhan itu bermaksud tempoh Parlimen tidak bersidang kali ini adalah selama 137 hari iaitu selepas ditangguhkan pada 6 Mac lalu.
Beliau mendakwa, ia merupakan tempoh ketiga terpanjang Parlimen tidak bersidang selepas penggantungan Parlimen selepas rusuhan 13 Mei 1969 (648 hari) dan semasa Proklamasi Darurat pada tahun 2021 (195 hari).
“Jika sebelum ini ialah kerana darurat rusuhan kaum dan Covid-19, apakah sebab utama pada kali ini ditangguhkan begitu lama?
“Sibuk pemilihan partikah? Atau sibuk merancang menyusun kabinet baru kerana dijangka ada yang akan letak jawatan?
“Atau sibuk ke sana sini sehingga tak sempat menyiapkan draf RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13)?
“Demikian hikayat kerajaan cacamerba,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun sehingga kini, belum ada pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung penangguhan sidang Parlimen seperti didakwa Ahmad Fadhli. – MalaysiaGazette
















