JOHOR BHARU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai dakwaan satu perhimpunan berbaju hitam yang didakwa akan berlangsung sekitar berlangsungnya Kongres Keadilan 2025 di sini hari ini.
Fahmi menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan tular bahawa terdapat kumpulan tertentu akan berhimpun sebagai tanda solidariti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, menjelang pemilihan parti.
“Saya tak tahu. Saya tahu di Kuala Lumpur ada disebut akan ada perkumpulan esok ‘Daulat Melayu’. Saya dengar juga, tapi tak pasti sama ada ia rasmi atau tidak,” katanya.
Ketika diminta mengulas sama ada beliau mempunyai nasihat kepada mana-mana pihak yang bercadang untuk menganjurkan perhimpunan, Fahmi menegaskan bahawa fokus utama pada ketika ini adalah perjalanan kongres parti yang sedang berlangsung.
“Kita berhimpun untuk berkongres. Jadi kita berkongreslah dulu,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, kata Fahmi, proses pengundian secara dalam talian bagi Pemilihan Keadilan 2025 berjalan lancar tanpa sebarang masalah capaian internet dilaporkan dari lokasi-lokasi utama seperti Danga Bay, Berjaya Waterfront, Kota Kinabalu dan Kuching.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat sudah bermula pagi tadi sekitar 8 pagi dan dijangka berakhir 5 petang merangkumi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada sebelah malam, hari sama. -MalaysiaGazette
















