JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua perjanjian yang dimeterai antara Petros dan Petronas kekal diterima pakai dan tidak akan dirombak termasuk perjanjian penjualan petroleum dari Sarawak ke Jepun, Korea Selatan dan China.
Menurut Anwar, Petronas turut memberikan jaminan semua keperluan domestik Sarawak akan dipenuhi sepenuhnya sejajar dengan semangat kerjasama antara syarikat minyak negara itu dengan syarikat minyak milik kerajaan negeri Sarawak.
“Di samping itu Petronas memberikan jaminan semua keperluan domestik Sarawak mesti ditunaikan dan semua usaha-usaha baru harus berlaku dengan rundingan dengan semangat bersama di antara Petronas dan Petros,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional PKR di Persada Johor malam ini.
Anwar membuat kenyataan tersebut bagi menjawab keraguan sesetengah pihak yang menganggap keputusan kerajaan seolah-olah menyerahkan kuasa tertentu manakala di negeri Sarawak pula wujud rasa tidak puas hati kerana tuntutan asal Sarawak tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.
“Dalam keadaan ini, ramai di sini curiga seolah-olah kita menyerahkan kuasa, ada juga dikhuatiri di Sarawak yang merasakan kesal kerana tidak dapat memenuhi tuntutan sepenuhnya yang dikemukakan di peringkat awal,” jelas Perdana Menteri.
Tambah beliau, pendekatan itu jelas mencerminkan makna sebenar sebuah kerajaan yang perlu mengutamakan perbincangan dan permuafakatan demi mencapai keseimbangan serta kejelasan dalam setiap keputusan.
“Inilah erti kerajaan yang harus berbincang dan muafakat dan mencari kejernihan di kalangan kita,” ujarnya.
Anwar turut mengaitkan perkara ini dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut melibatkan peruntukan tambahan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan semasa.
Beliau turut menyelar ahli Parlimen pembangkang yang menurutnya tidak memahami latar belakang sejarah dan realiti semasa berhubung sebab-sebab peruntukan kepada kedua-dua negeri Borneo itu ditambah.
“Ini termasuk perjanjian MA63 dengan peruntukan tambahan kepada Sabah dan Sarawak, termasuk ahli Parlimen pembangkang yang tentunya tidak menyedari sejarah, tidak memahami kenyataan mengapa peruntukan di Sabah dan Sarawak itu ditambah kerana keperluan semasa,” tegasnya.
Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat memiliki hubungan kerja yang pragmatik sejak pentadbiran Kerajaan Perpaduan bermula pada 2022.
Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak menjadi lebih erat terutamanya dalam isu pemerkasaan kuasa negeri dan pelaksanaan MA63. – MalaysiaGazette
















