Oleh: Intan Syazlina bt Mohd Ali
PENJAWAT awam dari kumpulan sokongan serta pengurusan dan profesional merupakan nadi penting dalam pentadbiran negara. Tanpa mereka, perkhidmatan kerajaan tidak akan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Namun, setelah berdekad mencurah bakti, ada yang telah berkhidmat sehingga 25 hingga 30 tahun, ramai kini berada di persimpangan: haruskan mereka bersara awal, atau terus menyumbang sehingga umur persaraan wajib?
Semakin ramai yang mula mempersoalkan hala tuju kerjaya mereka apabila usia semakin meningkat dan beban tugas bertambah berat. Dilema sama ada untuk bersara awal atau meneruskan kerja bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melibatkan pelbagai pertimbangan, termasuk soal kesihatan, kewangan, dan kesejahteraan mental.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beban kerja penjawat awam dilihat semakin meningkat. Tuntutan tugasan yang kompleks, keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan dasar, dan tekanan prestasi yang berterusan menyebabkan ramai yang merasa keletihan fizikal dan emosi. Tambahan pula, sesetengah perkhidmatan memerlukan kehadiran dan tumpuan penuh sepanjang masa, tanpa mengira kekangan peribadi atau keluarga.
Persoalan ini bukan sekadar soal kerja, tetapi berkait rapat dengan soal kelangsungan hidup, kesihatan fizikal dan mental, serta tanggungjawab terhadap keluarga. Dalam dunia pekerjaan hari ini, beban tugas semakin mencabar, arahan berubah-ubah, sistem yang kerap ditambah baik, dan tekanan prestasi berterusan. Ramai dalam kalangan penjawat awam mengalami keletihan berpanjangan, namun memilih untuk terus bertahan demi keperluan ekonomi dan tanggungjawab sosial.
Namun begitu, bagi kebanyakan penjawat awam, keputusan untuk bersara awal bukanlah satu pilihan mudah. Keperluan ekonomi dan komitmen keluarga sering menjadi faktor penghalang. Dengan kos sara hidup yang terus meningkat dan tanggungan seperti pendidikan anak-anak atau penjagaan ibu bapa yang lanjut usia, ramai yang merasakan bahawa mereka perlu terus bekerja demi kelangsungan hidup. Malah, ada yang sanggup memendam tekanan demi memastikan kestabilan kewangan keluarga tidak tergugat.
Bersara awal mungkin dilihat sebagai satu kelegaan. Namun bagi kebanyakan penjawat awam, ia tidak mudah. Tanpa pencen penuh, kehidupan selepas persaraan boleh menjadi beban. Tambahan pula, dalam budaya masyarakat kita, penjawat awam sering menjadi tonggak kewangan kepada keluarga — menyara anak-anak, ibu bapa, malah kadangkala ahli keluarga yang lain. Oleh itu, keputusan bersara bukan sekadar peribadi, tetapi menyentuh kepentingan ramai.
Dari perspektif Islam, Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 menyatakan: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” Ayat ini jelas memberi isyarat bahawa apabila sesuatu bebanan kerja mula melebihi kemampuan, adalah wajar untuk menilai semula keupayaan diri. Islam menggalakkan kerja yang dilakukan dengan niat yang baik dan penuh amanah, namun tidak sehingga mengorbankan kesihatan tubuh dan akal. Rasulullah SAW sendiri bersabda: “Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu.” (Riwayat Bukhari).
Budayawan dan pemikir tempatan seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut menekankan pentingnya kehidupan yang beradab dan seimbang, bukan hanya bekerja
semata-mata, tetapi memastikan hidup yang teratur dan tenang agar akal dapat berkembang dan jiwa dapat beristirahat. Walau bagaimanapun, aspek kesihatan mental dan emosi tidak boleh dipandang ringan.
Ramai yang terus bekerja dalam keadaan tertekan sehingga menjejaskan kualiti hidup dan hubungan sosial. Keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi sering terabai. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh membawa kepada keletihan melampau (burnout), masalah kesihatan kronik, serta kemurungan. Justeru itu, keputusan sama ada untuk bersara awal atau meneruskan kerjaya seharusnya dibuat secara rasional dan berimbang. Penjawat awam wajar menilai keadaan kesihatan diri, tahap motivasi kerja, sokongan sosial yang ada, serta keadaan kewangan semasa.
Bantuan daripada kaunselor kerjaya, pakar kewangan, dan keluarga terdekat boleh membantu proses membuat keputusan ini dengan lebih objektif. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan pilihan yang lebih fleksibel kepada penjawat awam yang berada di ambang persaraan. Skim
kerja separuh masa, peluang kerja fleksibel, atau program persediaan persaraan yang komprehensif boleh membantu mereka membuat peralihan dengan lebih tenang. Ini juga memberi ruang kepada penjawat awam untuk terus menyumbang mengikut kemampuan tanpa mengorbankan kesejahteraan diri.
Keputusan untuk bersara awal atau meneruskan kerja perlu dibuat secara bijaksana. Pertimbangan kewangan, kesihatan, minat bekerja, dan keperluan keluarga harus diambil kira. Bagi yang masih bertenaga dan ingin menyumbang, khidmat secara kontrak, separuh masa atau dalam bentuk latihan dan bimbingan kepada generasi baharu boleh dipertimbangkan.
Akhir kata, sama ada bersara atau meneruskan kerja, pilihan itu mestilah berpaksikan nilai-nilai murni, berpandukan iman, rasional dan realiti kehidupan. Dalam usaha mengejar kelangsungan hidup, jangan abaikan ketenangan jiwa dan kesihatan diri. Semoga setiap langkah yang diambil diberkati Allah SWT dan memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan negara. Perjuangan mungkin perlu diteruskan, tetapi ia tidak harus mengorbankan kesihatan dan kebahagiaan yang hakiki.

Penulis merupakan Penolong Pendaftar Kanan
Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam
















