JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan politik sesebuah kerajaan yang mengangkat individu layak seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, perkara tersebut merupakan balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.

“Ini kerana terdapat ramai individu tidak bernama yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan kerajaan memerintah.

“Saya teringat, seorang individu dikenali sebagai Pak Kudus di Tanjung Karang. Dia antara individu terawal menyokong saya ketika saya dipecat dahulu berbekalkan pencen RM1,800 sebulan.

“Ada pensyarah akademik, ada doktor pakar yang hilang kerja, kehabisan ratusan ribu ringgit  tetapi tidak pernah minta balasan sebaliknya menghabiskan sisa hidup secara sederhana sahaja.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional  Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Menurutnya, PKR merupakan sebuah parti yang dianggotai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di negara ini dengan setiap golongan akan diberi hak sama rata.

“Insya-Allah, kita akan bantu ahli-ahli yang telah berjuang demi parti. Kita parti pelbagai kaum yang serius, induknya mungkin Melayu dan Bumiputera tetapi mewakili semua kaum.

“Orang Cina dan Orang India juga diangkat oleh ahli-ahli Melayu untuk menjawat jawatan Naib Presiden,” ujarnya yang juga Presiden PKR.

Mengulas tentang keputusan pemilihan semalam, beliau yakin barisan kepimpinan baharu itu mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik bagi mengangkut PKR ke tahap lebih tinggi.

“Barisan ini tiada cai kerana dua-dua kumpulan kita rangkul. Sekarang semua dalam satu kumpulan, saya yakin barisan ini dengan sokongan rakyat kita boleh angkat PKR ke tahap jauh, lebih baik kita pernah capai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast