KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Keadilan Sabah (PKR) mengakui parti itu akan menempuh gelanggang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah dengan laluan yang sukar susulan pemilihan parti tersebut yang baru berakhir.
Ketua Cabang Keadilan Tuaran, Razeef Rakimin berkata, beliau juga sedih melihat keadaan pemilihan PKR kali ini khususnya melibatkan pertembungan antara kem Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Malah, jelasnya, beliau juga tawar hati dan hampir memutuskan menarik diri daripada bertanding selepas melihat beberapa masalah serius dalam pemilihan kali ini.
Bagaimanapun, tambah bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat itu, beliau meneruskan untuk bertanding merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atas rasa tanggungjawab meskipun tewas.
“Namun saya dengan kelebihan yang ada akan memastikan Keadilan memasuki PRN dengan keadaan cukup bersedia.
“Sama ada dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Penerangan pusat atau tidak, sama ada kekal sebagai Ketua Penerangan negeri atau tidak, sebagai anggota parti saya ada rasa tanggungjawab dan akan menggerakkan pelbagai inisiatif semampu saya bagi memastikan jentera penerangan Keadilan Sabah bersedia mendepani serangan pihak pembangkang dan bersedia untuk menyerang dengan segala peluru yang ada di tangan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Dalam pemilihan PKR Jumaat lalu, Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah dengan majoriti besar iaitu lebih 6,000 undi.
Tambah Razeef, tidak seperti pemilihan PKR sebelum ini yang mana beliau lebih lantang, namun pertembungan antara kem Nurul Izzah dan Rafizi pada pemilihan kali ini menyebabkan beliau memillih untuk berdiam diri.
“Semua tahu pemilihan 2018 dan 2022, saya umpama ‘harimau’ seperti kata rakan-rakan namun pada pemilihan kali ini saya memilih untuk berdiam dan tidak menyatakan pendirian menyokong mana-mana pihak kerana saudara Rafizi Rami dan saudari Nurul Izzah Anwar adalah rakan saya,” katanya. – MalaysiaGazette
















