GERMANY-LITERATURE-FRANKFURT-BOOK-FAIR
Gambar hiasan Foto AFP

KUALA LUMPUR – Peningkatan penghasilan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) menggunakan kecerdasan buatan (AI) perlu ditangani sebagai satu jenayah sebenar.

Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, masyarakat tidak boleh memandang ringan penghasilan menerusi AI dengan mengatakan ‘ia tidak benar (bukan imej daripada kanak-kanak sebenar) maka ia tidak berbahaya.’

Tegas beliau, sebarang aktiviti atau penghasilan yang melibatkan kanak-kanak dan bersifat seksual adalah satu kesalahan jenayah yang mesti dikenakan tindakan undang-undang sepenuhnya.

“Syarikat teknologi mesti bertanggungjawab dan memperkenalkan kawalan keselamatan yang lebih ketat. Teknologi AI antaranya deepfake tidak sepatutnya menghasilkan kandungan yang berbahaya atau bersifat seksual, apatah lagi melibatkan kanak-kanak.

“Pada masa yang sama, pihak polis dan pihak berkuasa lain mesti benar-benar faham akan undang-undang sedia ada. Hanya dengan itu, undang-undang boleh digunakan sepenuhnya untuk memburu mereka yang mencipta atau menyebarkan CSAM yang dijana AI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Quin Er yang juga Setiausaha Agung Wanita MCA menambah, mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, adalah satu jenayah untuk menghasilkan, memiliki, atau mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak dengan apa jua cara, termasuk menggunakan kecerdasan buatan. Jika gambaran tersebut bersifat seksual dan melibatkan kanak-kanak — sama ada benar, disunting atau dijana komputer — satu kesalahan telah berlaku.

Normalisasi penggunaan AI dalam hiburan dan media sosial mesti disertai dengan perbincangan serius mengenai etika, akauntabiliti dan batasan, katanya.

Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er.

Kepercayaan bahawa bahan yang dijana AI adalah kurang berbahaya juga mesti dicabar.

Kanun Keseksaan (Seksyen 292) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Seksyen 233) juga terpakai kepada sesiapa yang mengedarkan kandungan lucah dan berbahaya, tanpa mengira sama ada ia dijana oleh AI atau tidak.

“Tambahan pula, di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022, satu pembaharuan undang-undang besar yang telah kita saksikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang perlakuan yang tidak diingini dan bersifat seksual, dalam apa jua bentuk.

“Ini termasuk gangguan visual, seperti menghantar imej grafik, melukis perkara lucah, mempamerkan objek lucah, dan menghantar mesej teks yang tidak diminta. Dalam hal ini, mencipta imej CSAM yang dijana AI adalah satu jenayah.

“Kita tidak boleh membenarkan persepsi yang salah atau jurang dalam literasi digital melemahkan kefahaman masyarakat tentang apa yang dianggap sebagai jenayah seksual,” ujar beliau lagi.

Menurut Quin Er, masyarakat tidak boleh memandang ringan bahaya penghasilan imej melalui AI kerana minda yang rosak akan mengeksploitasi alat tersebut untuk mencipta apa sahaja yang mereka inginkan.

Apabila visual atau audio itu tersebar pula, ia boleh berlaku dengan pantas, mempengaruhi orang lain dan menyebabkan kesan psikologi yang tidak dapat dipulihkan kepada mangsa.

Penderaan digital sama seriusnya dengan penderaan fizikal, katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast