KUALA LUMPUR – Peranan Parlimen dan ahli-ahli legislatif penting dalam menjayakan pembangunan inklusif dan mampan di rantau ASEAN, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan institusi Parlimen harus diperkukuh bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, serta tidak meninggalkan mana-mana golongan dalam masyarakat.
“Setiap keputusan yang dibuat oleh Parlimen, Kongres, dan institusi legislatif akan memberi kesan langsung kepada keadaan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam pembukaan Sesi Suamuka pemimpin ASEAN bersama wakil-wakil perhimpunan antara Parlimen Asean (ASEAN-AIPA Interface) ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Menurut Anwar, keterlibatan aktif wakil rakyat dalam proses dasar bukan sahaja dapat memperkukuh amalan demokrasi, tetapi juga membuka ruang kepada pendekatan yang lebih inklusif dalam membentuk masa depan ASEAN.
Beliau turut mengalu-alukan peranan AIPA yang semakin proaktif membincangkan isu-isu utama serantau seperti keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan ekonomi inklusif.
“Menariknya, AIPA telah memulakan perbincangan untuk membincangkan beberapa isu berkaitan media, seperti keselamatan makanan, perubahan iklim, perubahan digital, dan pembangunan ekonomi inklusif,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha membina masyarakat ASEAN yang makmur memerlukan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan dan Parlimen.
“Di komitmen kami, saya berpandangan perlu ada perkongsian dalam usaha merealisasikan dan meneroka potensi masyarakat kita, mengembangkan kemajuan serta kejayaan ASEAN secara menyeluruh.
“AIPA wajar diberikan ruang dan pengiktirafan yang sewajarnya bagi memastikan suara ahli-ahli Parlimen di rantau ini turut diangkat dalam pentas serantau.
“Saya berpandangan AIPA harus diberikan peluang untuk memainkan peranan penting dan memberikan penampilan yang diperlukan kepada ahli Parlimen ASEAN,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sesi tersebut dan menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha ke arah pembangunan bersama ASEAN yang mampan dan menyeluruh. – MalaysiaGazette
















