KUALA LUMPUR – Tiada sebarang transaksi dikesan dalam akaun bank milik Datin Seri Pamela Ling Yues berikutan kehilangan wanita itu sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang mengesahkan perkara itu berkata, ia berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan berkait kes berkenaan oleh pihaknya.
“Setakat ini kita lihat tiada (pengeluaran keluar masuk wang) dalam akaun bank (Pamela),” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan Pamela memohon kerakyatan negara lain, beliau berkata, ia merupakan permohonan peribadi dan setakat ini polis tidak dapat mengesahkannya.
Pada 9 April, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada petang hari yang sama.
Rusdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah.
Tambah beliau, beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa serta pemand u e-hailing telah dirakam keterangan. – MalaysiaGazette
















