KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya melangkaui politik perkauman serta agama, dan tampil sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia.
Chee Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh berkata, tidak ada mana-mana parti politik hari ini yang harus berpuas hati menjadi suara fraksi sempit yang hanya akan membawa parti itu kepada situasi terumbang-ambing dalam landskap politik Malaysia moden.
Jelasnya, negara ketika ini sedang berada pada persimpangan penting kerana berdepan ketidaktentuan ekonomi, perpecahan sosial yang meruncing serta generasi muda yang dahagakan harapan serta peluang.
Sehubungan itu, kata beliau, adalah mengecewakan apabila Dr. Muhamad Akmal kelihatan lebih cenderung memainkan sentimen agama berbanding menawarkan visi kepimpinan yang inklusif.
Menurutnya, Dr. Muhamad Akmal tidak perlu melihat jauh sekiranya mahu mencari pemimpin yang melangkaui sentimen politik perkauman dan agama sebagai teladan.
“Beliau boleh melihat kepada ketuanya sendiri iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang telah membuktikan meskipun memakai `lencana UMNO’, namun masih mampu memimpin dengan semangat yang inklusif.
“Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada April 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan, Ab Rauf telah mengambil pendekatan tegas dalam tadbir urus dan mengutamakan tindakan berbanding retorik.
“Walaupun saya pernah menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap sesetengah dasar atau cara pelaksanaannya, saya memuji dan menyokong visi besar Ab Rauf terutamanya dalam memupuk harapan dalam kalangan belia, memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Chee Yee, Dr. Muhamad Akmal mempunyai semangat yang tinggi, jiwa yang muda serta platform politik, justeru berdepan pilihan sama ada menggunakan semua itu sebagai aset untuk memecahkan atau menyatupadukan rakyat.
Ujarnya, golongan muda Malaysia tanpa mengira agama dan kaum ketika ini tidak mencari pemimpin yang hanya lantang bersuara, tetapi mereka yang dapat berfikiran secara mendalam.
“Mereka mahukan pemimpin yang faham bahawa dalam ekonomi digital global, yang paling penting ialah pendidikan, pekerjaan, inovasi dan integriti,” katanya.
Jelasnya, sejarah tidak akan mengingati pemimpin politik yang selesa dengan memainkan sentimen berasaskan kaum, sebaliknya akan mengenang pemimpin yang berani melangkaui sentimen itu.
“Pemimpin Malaysia sejati akan menyantuni komuniti semua kaum, bukan hanya kaum-kaum tertentu.
“Jika Abd Rauf boleh memahami perkara ini, sudah semestinya Ketua Pemuda UMNO juga boleh memahaminya,” katanya. – MalaysiaGazette
















