KUALA LUMPUR Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengalu-alukan pelaksanaan projek AI Literacy for Journalists hasil kerjasama antara Google dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) menyifatkan ia sebagai langkah penting dalam memperkasakan bidang kewartawanan negara.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah salah satu permintaan beliau kepada pihak Google, susulan perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang memberi impak besar kepada industri media.
Katanya, wartawan perlu memahami bukan sahaja potensi tetapi juga kelemahan AI.
“Kadang-kadang kita perlu faham apakah kebaikan dan juga kelemahan pada AI itu sendiri. Kita tidak boleh terbawa-bawa, terlalu mudah menyerahkan tugas kewartawanan kepada AI,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis penutupan Projek Sigma di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi optimis bahawa AI boleh menjadi alat sokongan penting kepada para wartawan, sama seperti pena dan buku dalam era terdahulu.
Katanya, kerjasama MPI dan Google perlu dilihat sebagai usaha membina profesionalisme serta kemahiran etika dalam penggunaan teknologi baharu.
“Anggaplah usaha MPI dan Google ini sebagai satu langkah membantu para wartawan mengasah bakat dan juga meningkatkan tahap profesionalisme mereka serta memahami aspek-aspek etika penggunaan AI dalam kewartawanan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan bersedia memberikan sokongan kepada Majlis Media Malaysia untuk beberapa tahun pertama operasinya agar dapat berfungsi secara berdikari dan berdaya saing kelak.
Selain itu, Fahmi menekankan keperluan untuk kerajaan turut membantu organisasi media lain khususnya dalam usaha merapatkan jurang digital melalui kerjasama seperti Projek Sigma dan inisiatif bersama syarikat teknologi seperti Google.
Katanya, sokongan tersebut boleh disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk dana, geran dan kemudahan lain yang membantu organisasi media melalui proses transformasi digital selaras dengan pembangunan prasarana komunikasi negara.
“Walaupun ada sokongan daripada Google, keterlibatan organisasi media dalam program 10 minggu ini juga menelan kos.
“Saya lihat perlu ada insentif dan bantuan lain, bukan sekadar program semata-mata,” kata Fahmi. – MalaysiaGazette
















