Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berucap ketika hadir ke Hari Anugerah Pendidik MARA 2025 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat Mara (Mara) merancang menambah warga pendidiknya bagi memenuhi keperluan semasa.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia berikutan peningkatan permohonan kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan Mara (IPMa) pada masa ini.

Selain itu katanya, penyertaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga mendapat permintaan tinggi yang menyebabkan berlaku kekangan warga pendidik.

“Permohonan untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM) serta kolej pendidikan banyak kita terima dan kekangan kita adalah pendidik.

“Sebagai memenuhi keperluan ini, Mara akan menambah jumlah pendidik dari semasa ke semasa dan jumlah 9,987 pendidik MARA ketika ini pasti akan meningkat berdasarkan prestasi dan keperluan,” katanya pada pemberita.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang diiring Pengerusi MARA, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman bergambar kenangan bersama para pendidik yang hadir pada Hari Anugerah Pendidik MARA 2025 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 MEI 2025

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2025 yang turut dihadiri Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kredibiliti dan reputasi warga pendidik MARA, Rubiah berkata, mereka harus menunjukkan sikap tabayyun dalam kehidupan seharian.

“Seorang guru (pendidik Mara) yang melanggar peraturan tatatertib melakukan kesalahan boleh mencemarkan reputasi sesebuah sekolah atau institusi tempat dia mengajar.

“Oleh itu, penting bagi seseseorang yang memegang amanah sebagai pendidik untuk menjaga intergriti dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

“Tanpa intregriti yang kukuh, keberkesanan pendidikan boleh terjejas dan kesannya bukan hanya kepada inividu tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang diiring Pengerusi MARA, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidik MARA kepada Profesor Datuk Ahmad Zahir Mokhtar pada Hari Anugerah Pendidik MARA 2025 di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 MEI 2025

Jelas beliau, kenyataan itu merujuk kepada tindakan negatif seseorang guru yang boleh memberi kesan buruk kepada keseluruhan profesion guru.

Bagi memastikan tiada isu dalam kalangan pendidik Mara, Rubiah berkata, pihaknya akan menilai sistem dan ekosistem bukan sahaja dari segi modul latihan tetapi kredibiliti pendidik MARA.

Katanya, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula amat penting dilakukan secara berterusan termasuk pendedahan aspek insaniah.

“Saya yakin dengan adanya latihan dan kemahiran yang berterusan ia dapat menangani isu tidak diingini di kalangan pendidik,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan tujuh Anugerah Pendidik Mara (APM) 2025 kepada 75 pendidik yang bertugas di 345 pusat pendidikan di bawah agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast