Pemandu bas henti-henti yang disyaki memandu secara cuai sehingga mengakibatkan seorang pemuda maut manakala rakannya cedera petang semalam direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.

MELAKA – Pemandu bas henti-henti yang disyaki memandu secara melulu sehingga mengakibatkan seorang pemuda maut manakala rakannya cedera petang semalam direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee sehingga Khamis ini

Ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan memandu dengan melulu atau berbahaya yang menyebabkan kematian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang semalam, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut manakala rakan sekerjanya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera apabila kereta dinaiki yang sedang berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan dirempuh bas berkenaan.

Kejadian berlaku di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dengan bas yang sedang dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Alor Gajah.

Siasatan awal polis mendapati bas berkenaan yang datang dari arah belakang tiba-tiba merempuh sebuah Perodua Kembara yang sedang berhenti kiri bahu jalan mengakibatkan pemandunya tercampak keluar dan maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakan sekerjanya mengalami luka-luka.

Insiden itu turut tular di media sosial melalui bukti video papan pemuka bas berkenaan yang menunjukkan ia dipandu di lorong kiri sebelum tiba-tiba merempuh Perodua terbabit yang dilihat sudah lama berhenti sambil memasang lampu signal kecemasan.

Dalam satu video dalam bas menunjukkan, pemandunya yang memakai cermin mata hitam sedang mencapai sebungkus plastik minuman dan meneguknya sebelum berlaku nahas beberapa saat selepas itu.

Nahas kemalangan maut itu mengundang simpati warga net apabila tular video orang awam membantu mangsa pemandu yang sedang nazak mengucap sebelum lelaki itu meninggal dunia di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast