KUALA LUMPUR – Sasaran sebanyak 13 kerusi untuk ditanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 disifatkan logik dan berasas berdasarkan situasi politik semasa.
Pemangku Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, sasaran itu juga menunjukkan PKR Pusat dan Pakatan Harapan (PH) memberi kuasa autonomi kepada PKR Sabah dalam isu rundingan kerusi.
Ujarnya, walaupun PKR pada PRN lalu hanya memenangi dua kerusi, namun PKR berjaya mengekalkan kerusi yang disandang walaupun dalam keadaan parti itu mengalami perpecahan pasca Langkah Sheraton.
Malah, ujar beliau, banyak kerusi berpotensi PKR pada waktu itu diserahkan kepada Parti Warisan berdasarkan data sokongan pengundi kepada calon PKR dan PH pada PRU-15.
“PH kini di peringkat akhir rundingan sebelum memulakan rundingan dengan rakan gabungan lain sama ada GRS mahupun BN.
“Malah angka 13 kerusi itu juga merupakan anggaran sasaran kerusi yang akan ditandingi Keadilan, yang mana ia angka yang logik jika berlaku kerjasama dengan gabungan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pusat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Anuar Ghani semalam yang mempersoalkan hasrat PKR bertanding 13 kerusi pada PRN-17 Sabah.
Menurut Anuar, tindakan itu menunjukkan PKR Pusat masih melihat Sabah sebagai jajahan politik, bukan sebagai rakan setara dalam Persekutuan, sekali gus bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut Sabah diberi hak menentukan hala tuju politiknya secara sendiri.
Dalam pada itu, Razeef menyelar kenyataan Anuar dan menyifatkan cuba menunggang MA63 untuk kepentingan politik seperti yang sering dilakukan menjelang PRN.
Ujar beliau, PRN Sabah ditentukan sepenuhnya oleh penduduk negeri itu dan STAR tiada hak untuk menentukan sama ada rakyat perlu menyokong parti tempatan atau menyokong parti nasional.
Apatah lagi, katanya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hak Sabah dihormati, malah lebih banyak perkara yang termaktub dalam MA63 dilaksana.
“Berhentilah kaitkan agihan kerusi di kalangan Pakatan Harapan dengan MA63 kerana Keadilan dan Pakatan Harapan Sabah mempunyai autonomi sendiri dan sudah tentu kerusi Pakatan Harapan juga ditandingi anak Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















