BALIK PULAU – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal, pada dua minggu lalu.
Tertuduh, Chew Kok Wan, 47; dan isterinya, Mak Wai Peng, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di sebuah kondominium dekat Bayan Lepas di sini, jam 7.30 pagi pada 18 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM20,000 kepada setiap tertuduh selain meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan agar pasangan suami isteri itu perlu lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, dilarang ganggu mangsa serta perlu serahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, V. Parthipan yang mewakili mereka mohon jaminan minima atas alasan anak guamnya mungkin kehilangan pekerjaan akibat tidak hadir kerja susulan direman selama seminggu.
“Kok Wan bekerja sebagai penyelia kilang dengan pendapatan RM5,500 manakala isterinya bekerja sebagai pengurus projek di sebuah kilang dengan pendapatan RM7,000 sebulan.
“Meskipun pendapatan mereka tinggi namun Kok Wan perlu tanggung ibu serta seorang lagi anak di sebuah sekolah menengah di negeri ini serta perlu membayar pinjaman kewangan untuk kereta serta rumah mereka.
“Manakala Wai Peng pula baru selesai menjalani pembedahan awal kanser ovari dan memerlukan rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sini, justeru saya mohon pertimbangan mahkamah,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM10,000 dan syarat tambahan yang dimohon Jin Hong selain menetapkan sebutan semula kes pada 1 Julai depan.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri ditahan susulan mendera anak kandung mereka selain mangsa pernah dikurung dalam sangkar anjing.
Kejadian terhadap murid Tahun Enam itu disedari guru kaunseling di sekolah selepas mengesan lebam dan luka di belakang badan mangsa, pada 19 Mei lalu.
Rotan yang disyaki digunakan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengurus dan jurutera di dua buah kilang di sini, turut dirampas polis untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















