KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertahankan tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung kes titah adendum.
Menurut Mohd Puad, Najib tidak mempunyai pilihan apabila titah adendum itu disorok lama dan hukuman penahanan rumah juga masih tertangguh.
Malah, jelasnya, rakyat juga tidak akan mengetahui mengenai kewujudan titah adendum itu sekiranya Najib tidak mencabarnya di mahkamah.
“Apatah lagi Terriruddin menafikannya. Maka apakah tidak wajar tindakan Najib memulakan prosiding menghina Mahkamah?
“AGC pula membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu? Maka itu signal apa? Apa lagi pilihan yang ada pada Najib apabila titah itu disorok lama dan “house arrest” juga masih tertangguh?
“Semoga Julai ini tidak bertangguh lagi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Ahmad Terrirudin telah menjalankan tugas beliau selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, dakwaan bahawa Ahmad Terrirudin telah mengelirukan Mahkamah Tinggi dalam kes titah adendum melibatkan Najib adalah tidak berasas sama sekali.
AGC turut memaklumkan tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang dan prejudis.
Kenyataan AGC berkenaan sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tetuan Shafee Co., yang mengesahkan bahawa satu permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin telah difailkan pada 21 Mei lepas.
Permohonan kebenaran menghina mahkamah yang dikemukakan Najib itu mendakwa Ahmad Terrirudin, ketika menjawat jawatan Peguam Negara dengan sedar dan sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujahan yang tidak benar dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman berhubung titah adendum. – MalaysiaGazette