KUALA LUMPUR -Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan prestasi operasi yang stabil bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025) disokong permintaan elektrik yang kekal stabil dan berterusan, hasil pertumbuhan ekonomi domestik yang positif.
Syarikat utiliti negara dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi baik itu turut disokong penggunaan tenaga dalam sektor komersial yang meningkat sebanyak 5.1 peratus, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan industri tenaga berintensiti tinggi seperti pusat data.
Katanya, TNB telah menjana bekalan tenaga kepada 21 pusat data dan memperoleh 43 perjanjian bekalan, dengan jumlah beban komited sekitar 6.4GW sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital dan perindustrian negara
Selain itu, prestasi stabil Kumpulan juga disokong pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat daripada RM4.73 pada Mac 2024 kepada RM4.44 pada Mac 2025.
Perkembangan itu membantu mengurangkan tekanan terhadap kos bahan api dan perbelanjaan modal, dengan keuntungan pertukaran mata wang asing berubah menjadi positif dan seterusnya menyokong daya tahan kewangan TNB.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB akan terus fokus untuk mengekalkan pretasi yang stabil sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham.
“Melalui pengurusan kos yang berhemah, penyampaian perkhidmatan yang boleh dipercayai dan komitmen jelas terhadap pembangunan negara, kami terus menyediakan nilai yang konsisten walaupun berdepan cabaran global,” katanya.

Selain pasaran domestik, TNB turut mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) di peringkat antarabangsa menerusi pembangunan projek ladang solar hijau pertama di Eastfields dan Bunkers Hill, United Kingdom.
Projek berkenaan dijangka siap pada suku kedua 2025.
Katanya, projek RE tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang TNB untuk menjana pulangan dalam mata wang asing sambil menyokong matlamat peralihan tenaga global.
“Kekuatan kewangan kami bukanlah matlamat akhir; ia adalah landasan untuk kami mencipta impak bermakna kepada rakyat,”
“Sambil kami memodenkan grid dan memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu, kami turut memberi tumpuan agar tiada komuniti yang tercicir.
“Inilah intipati tujuan kami: menyampaikan kemajuan yang memartabatkan semua rakyat Malaysia,” kata Ir. Megat Jalaluddin lagi.

Selain mengukuhkan prestasi perniagaan, TNB juga meneruskan komitmen untuk menyokong inisiatif berpaksikan rakyat dengan menyalurkan lebih RM45 juta sehingga S1 2025 bagi pembangunan masyarakat menerusi sektor pendidikan, sukan, alam sekitar dan sosial.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, TNB menzahirkan komitmen tinggi untuk memperkasa generasi masa depan melalui pendidikan.
Ini dapat dilihat dengan penajaan UNITEN serta Yayasan Tenaga Nasional bernilai lebih RM36 juta yang memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di seluruh negara.
Selain itu, RM1 juta diperuntukkan untuk program bantuan kembali ke sekolah di 40 lokasi yang memberi manfaat sekitar 8,000 kanak-kanak kurang berkemampuan untuk memulakan tahun akademik masing-masing.
“Selain membekalkan tenaga kepada negara, TNB amat komited untuk memperkasa generasi masa depan melalui pendidikan. Program kami mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam komuniti yang kami layani, memastikan tiada anak tercicir dalam perjalanan Malaysia menuju ekonomi berasaskan ilmu yang lebih inklusif,” katanya.
TNB turut memperuntukkan sekitar RM1.5 juta untuk diagihkan sepanjang Ramadan melibatkan lebih 50,000 individu di Semenanjung dan Sabah melalui bantuan makanan, program komuniti dan aktiviti keagamaan.
Hampir RM4 juta zakat pula disalurkan kepada lebih 14,000 penerima asnaf, meliputi Projek Baiti Jannati, baik pulih rumah dan pendawaian semula, sokongan untuk fakir dan miskin serta tujuan Fisabilillah termasuk naik taraf masjid dan surau, pusat pendidikan dan bantuan umum.
Selain itu, hampir RM300,000 disumbang untuk memberi sokongan kesihatan kepada masyarakat.
Jumlah tersebut termasuk memberi manfaat kepada 2,560 individu, peralatan di Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM; selain memberi sokongan kepada pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin; serta inisiatif oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita serta Hari Kanser Sedunia 2025.
Lebih RM300,000 lagi, disalurkan bagi membantu lebih 2,000 individu yang terjejas akibat banjir dan ribut di beberapa negeri manakala bantuan berjumlah RM110,000 pula diberikan kepada 1,200 Orang Asli di Royal Belum dan Slim River, Perak.
Bagi pembangunan sukan negara, lebih RM2.1 juta diperuntukkan untuk menyokong pembangunan hoki dan memberi manfaat kepada lebih 5,000 individu melalui sumbangan kepada Konfederasi Hoki Malaysia, klinik latihan, penyediaan peralatan serta inisiatif berkaitan sukan.
Selain itu, TNB turut menyusun strategi jangka panjang bagi pembangunan komuniti dengan memperluas program Sekolah Angkat TNB kepada 50 sekolah di seluruh negara berbanding 36 sebelum ini.
Dengan pelaburan kira-kira RM2.3 juta, program ini menawarkan intervensi yang disesuaikan merangkumi sokongan akademik, pembelajaran digital, penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan kokurikulum termasuk Confirm AI dengan UNITEN (10 sekolah); Trust School for Peer Assisted Learning And Sharing (PALS) (6 sekolah); TNB Thunderbolts (7 sekolah); PINTAR TNB bersama Yayasan Pintar (13 sekolah); Sekolah Angkat MADANI (14 sekolah). -MalaysiaGazette
















