KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan Perintah Larangan Bawah Akta Cetak dan Penerbitan 1948 (Akta 301) terhadap tujuh buku berkuat kuasa pada 15, 16 dan 17 April 2025.
Jelasnya, larangan tersebut dikuatkuasakan bagi mengelakkan penyebaran fahaman, ideologi atau gerakan yang boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Tujuh buku berkenaan adalah Love, Theoretically; Tuan Ziyad: Forbidden Love; Darlingku Mr. Cold Mafia; Mischievous Killer; Suhuf Abraham; Kougar 2 dan The American Roommate Experiment.
“Tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa yang sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.
Menurutnya, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan semua buku yang disenaraikan adalah dilarang.
Jelasnya, ia selaras dengan dengan subseksyen 7(1) Akta 301.
Katanya, sesiapa sahaja tanpa sebab munasabah didapati memiliki apa-apa hasil penerbitan yang telah disenaraikan boleh dedenda tidak melebihi RM5,000.
“Subseksyen 8(2) Akta 301: mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.
“Apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















