HULU SELANGOR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes bunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat ketetapan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt, memaklumkan pihak pendakwaan telah memperoleh kebenaran untuk membawa kes itu ke peringkat lebih tinggi.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan mengesahkan semua dokumen penting, termasuk laporan kimia dan patologi telah lengkap bagi tujuan pendakwaan.
Menarik perhatian, tidak kelihatan ahli keluarga tertuduh mahupun keluarga mangsa pada prosiding kali ini berbeza dengan sesi-sesi sebelum ini yang menyaksikan kehadiran mereka.
Mengikut pertuduhan, anggota tersebut didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, di antara 10 Julai, pukul 9 pagi dan 15 Julai 2024, pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor.
Artikel berkaitan:
- Alif Monjani didakwa bunuh Nur Farah Kartini
- Keluarga Nur Farah Kartini harap urusan tuntutan jenazah dipercepatkan
- Perselisihan hubungan motif Nur Farah Kartini dibunuh – KP Selangor
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Kes ini menyayat hati rakyat apabila Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 selepas menghantar sebuah kereta sewa kepada pelanggan.
Lima hari kemudian, mayatnya ditemui dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa.
Siasatan awal pihak polis mendapati pembunuhan itu berkemungkinan besar dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa yang membawa kepada penahanan seorang anggota polis berpangkat lans koperal tidak lama kemudian. -MalaysiaGazette
















