Gambar hiasan

DALAM beberapa hari sahaja lagi, jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia akan berkumpul di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang menjadi impian seumur hidup bagi setiap Muslim. Haji bukan sekadar satu perjalanan fizikal ke Baitullah, tetapi lebih dalam daripada itu. Ia adalah perjalanan jiwa dan penyucian diri yang membawa kita kembali kepada fitrah.

Setiap tahun, tatkala musim haji tiba, kita melihat para jemaah datang dalam keadaan sederhana, kusut masai, berdebu, dan meninggalkan segala keselesaan hidup demi menyahut seruan Ilahi. Bukankah ini satu simbol ketundukan dan kerendahan diri yang jarang sekali dapat kita lihat dalam suasana biasa kehidupan? Seolah-olah mereka sedang melatih diri untuk satu lagi perjalanan iaitu perjalanan pulang ke hadapan Tuhan, dalam
keadaan tiada apa yang tinggal melainkan amal dan taubat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Antara satu umrah dengan umrah yang lain menjadi penghapus dosa yang berlaku antara keduanya. Dan haji yang mabrur, tiada balasannya melainkan syurga”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bayangkan, ganjaran syurga untuk mereka yang benar-benar ikhlas dalam menunaikan ibadah haji. Tapi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Haji Mabrur”? Bagaimana kita boleh mencapainya?

Tiga larangan, tiga kuncai haji mabrur
Dalam Surah al-Baqarah ayat 197, Allah SWT menyebut dengan jelas tiga perkara utama yang perlu dijaga sepanjang ibadah haji:

“Maka sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar…”

1. Pelihara hubungan suami isteri
Dalam keadaan ihram, jemaah dilarang melakukan hubungan suami isteri, termasuk perbuatan atau percakapan yang menjurus ke arah itu. Ia bukan sekadar
larangan fizikal, tetapi juga latihan untuk menundukkan nafsu dan menjaga kesucian ibadah.

2. Jauhi maksiat
Sama ada lidah yang suka mengumpat, hati yang berdengki, ataupun tangan yang melakukan kezaliman. Semua bentuk maksiat perlu ditinggalkan. Mungkin di tempat lain kita terleka, tetapi di tanah suci dan semasa melaksanakan ibadah haji kita perlu lebih berhati-hati dan meninggalkan segala bentuk maksiat. Di situlah kita diajar untuk membersihkan diri luar dan dalam.

3. Elak pertengkaran
Di tengah-tengah jutaan manusia, tidak mustahil akan berlaku salah faham. Namun, haji mengajar kita erti sabar dan mengawal emosi. Sekecil mana pun
pertengkaran, ia boleh merosakkan suasana ibadah. Maka, diam itu lebih baik jika hati sudah mula bergetar dengan kemarahan. Nabi SAW juga bersabda:
“Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah, lalu dia tidak melakukan rafas (perkataan atau perbuatan lucah) dan tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali (dalam keadaan suci) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya, haji adalah refleksi hidup. Bagaimana kita mengurus emosi, menjaga adab, memilih sumber rezeki yang halal untuk berangkat Haji, dan mendidik diri untuk sentiasa ikhlas. Ia bukan hanya sekadar rukun ibadah yang disempurnakan secara fizikal, tetapi satu latihan rohani yang menyeluruh.
Kita mungkin hanya menunaikan haji sekali seumur hidup. Namun, impaknya seharusnya kekal sepanjang hayat. Seperti jemaah yang bertalbiah dengan hati yang penuh pengharapan. “Labbaikallahumma labbaik” begitu jugalah kita kembali kepada Allah dalam kehidupan seharian: dengan ketundukan, kejujuran, dan keinginan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Pesanan buat hati
Buat para tetamu Allah yang akan berangkat, jangan lupa bahawa perjalanan ini bukan sekadar berpakaian ihram, tetapi berpakaian taqwa. Bukan hanya membawa beg pakaian, tetapi membawa hati yang bersih. Bukan hanya untuk memenuhi rukun, tetapi untuk menghidupkan ruh ibadah itu sendiri. Semoga setiap langkah, setiap titisan air mata, dan setiap doa yang terangkat di Arafah, di Mina, dan di hadapan Kaabah menjadi saksi cinta kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Dan semoga para jemaah haji yang bakal menyempurnakan rukun Islam kelima ini dikurniakan haji yang mabrur, diterima amalannya, dan dipermudahkan segala urusannya. Amin, Ya Rabbal Alamin.

Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri
Mahasiswa Universiti Islam Imam Mohammad Bin Saud, Riyadh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast