KUALA LUMPUR – Undang-undang baharu perlu diperkenalkan supaya konsep kedaulatan negara dapat dilihat semula dan disesuaikan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ia bagi membolehkan AI beroperasi secara bebas tanpa perlu tunduk kepada undang-undang seperti yang berlaku dalam sistem perundangan lama.
Jelas beliau, meskipun sesebuah negara perlu melindungi kedaulatan masing-masing, namun mereka tidak mempunyai pilihan untuk menguasai dan memahami teknologi baharu AI itu.
“Maka, ia perlu dikaji semula dan disesuaikan semula untuk melindungi keselamatan negara.
“Tetapi pada masa yang sama, teknologi baharu ini perlu dibenarkan untuk memberi peluang kepada syarikat dan operasi berasaskan awan beroperasi dalam kawasan kedaulatan negara, tetapi masih bebas sepenuhnya daripada undang-undang negara, kecuali dalam aspek perlindungan sempadan dan keselamatan,” katanya.
Anwar berkata demikian sewaktu menjadi panelis dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bertajuk `The Intelligence Grid: Building Bridges Through Sovereign AI Collaboration’, di sini, hari ini.
Sesi yang dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai moderator itu turut disertai Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao.
Sementara itu, Anwar berkata, teknologi AI perlu dilihat daripada perspektif serantau dan global memandangkan ia tidak terhad di peringkat nasional atau sub serantau semata-mata.
Beliau mengambil contoh kerjasama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kini berkembang menjadi kerjasama strategik lebih mendalam merangkumi pelaburan, perdagangan dan teknologi baharu.
Jelas beliau, GCC memainkan peranan penting bermula dengan inisiatif di Arab Saudi yang diperluaskan kepada perbincangan bersama Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan negara-negara lain.
“Ia bukan sekadar simbolik sebaliknya kita bincang serius soal tadbir urus digital, pelaburan dan teknologi.
“Jika kita ingin menerima AI, maka kita tidak boleh lagi berpegang kepada pemikiran lama tentang kedaulatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















