Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dipuji UMNO Sabah yang menyifatkannya sebagai ’betul-betul anak jantan.’

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata, tindakan Ahli Parlimen Pandan itu menunjukkan integriti beliau dan patut dicontohi wakil rakyat yang lain.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik lapan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tidak meletakkan jawatan meskipun terpalit dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan skandal mineral di negeri itu.

“Ini baru betul anak jantan. Namun, di Sabah situasinya sedikit berlainan. Satu Malaysia sudah tahu lapan ADUN Kerajaan SMJ (Sabah Maju Jaya) terlibat dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Mereka akan dipanggil semula dalam masa terdekat oleh pihak SPRM. Sehingga hari ini mereka tidak berani untuk meletak jawatan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Di samping itu, Rosman turut mengaitkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempertahankan ADUN-ADUN Sabah berkenaan dengan mengatakan perbualan dalam video tular tersebut mungkin merujuk kepada derma politik.

Menurut Hajiji, penerimaan derma politik adalah disebabkan gaji wakil rakyat ’tidak cukup.’

“Begitulah realiti sebenar ’anak jantan’ buatan GRS SMJ,” kata Rosman.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa laporan forensik mengenai video tersebut telah diterima.

Namun, beliau berkata masih tidak boleh mendedahkan sama ada video itu asli atau tidak pada ketika ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan.

Azam turut mengarahkan pegawai penyiasat memanggil semula semua individu berkaitan untuk sesi soal siasat tambahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast