USIM melebarkan rakan strategik dengan IPT di Timur Tengah melalui MoU bersama Universiti Anbar, Iraq. USIM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato Ts Dr Sharifudin Md Shaarani (kiri) dan Universiti Anbar diwakili oleh Presiden Universiti, Profesor Dr Mushtaq Talib Al Nada (kanan).

NILAI – Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan rakan strategiknya di luar negara apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Anbar, Iraq hari ini

Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua universiti disempurnakan oleh USIM yang diwakili oleh Niab Canselor, Profesor Dato Ts Dr Sharifudin Md Shaarani manakala Universiti Anbar diwakili sendiri oleh Presiden Universiti, Profesor Dr Mushtaq Talib Al Nada.

FPQS yang akan menjadi peneraju di peringkat USIM dalam melaksanakan agenda MoU ini akan mengambil peranan untuk mewujudkan kerangka kerjasama menyeluruh antara kedua-dua institusi.

Malah melalui MoU yang dimeterai antara USIM dan Universiti Anbar, ia bakal merintis peluang baharu kepada FPQS untuk membawa dan mendekatkan nama fakulti dan USIM dengan institusi pendidikan tinggi di Timur Tengah secara tidak langsung.

Menurut Dekan FPQS, Profesor Madya Dr Mohd Zohdi Mohd Amin, antara kerjasama yang akan dilaksanakan bersama Universiti Anbar termasuklah program pertukaran akademik melibatkan kakitangan dan pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan kolaboratif, pembangunan kurikulum terutamanya dalam bidang Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah serta bahasa Arab.

Bidang kerjasama lain yang akan turut diterokai adalah pertukaran budaya dan pembangunan kapasiti dalam aspek akademik dan pentadbiran.

“Sasarannya, dalam tempoh sebulan, kita dapat menyediakan satu kertas cadangan program kerjasama yang komprehensif untuk diserahkan kepada Universiti Anbar.

“Sebelum ini kita menerima delegasi Universiti Anbar melawat ke fakulti dan semasa itu mereka tertarik dengan kemampuan dan kelebihan yang terdapat di FPQS dan USIM. Alhamdulillah, hari ini kita rasmikan hubungan FPQS-USIM dan Universiti Anbar melalui MoU kerana saya melihat begitu banyak potensi yang boleh kita terokai secara bersama selepas ini,” ujar beliau.

Kerjasama ini sejajar dengan misi bersama kedua-dua universiti untuk memperkasa kedudukan al-Quran, hadis dan Islam sejajar dengan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.

MoU turut menggambarkan aspirasi USIM untuk menjadi rujukan global dalam keilmuan Islam melalui kerjasama antarabangsa yang memberi impak serta menerajui integrasi ilmu Naqli dan Aqli pada 2025.

Bersempena majlis MoU ini, sesi perbincangan meja bulat antara wakil-wakil fakulti di USIM diadakan bersama barisan delegasi dari Universiti Anbar untuk melihat potensi sinergi lain yang boleh dilaksanakan bersama kepelbagaian kepakaran akademia yang USIM miliki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast