SEPANG – Caj parkir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sememangnya diketahui lebih mahal berbanding lokasi lain.
Malah sebelum ini, tular klip video di TikTok memaparkan caj parkir melebihi RM2,000 di KLIA hingga mengejutkan orang ramai.
Video yang dikongsi itu memaparkan nombor pendaftaran sebuah kereta di kios parkir KLIA yang dikenakan caj lebih RM2,000.
Caj `luar biasa’ itu dikenakan selepas individu terbabit meninggalkan kenderaannya di parkir KLIA selama 13 hari.
Namun, terdapat juga netizen yang mempertahankan kadar caj itu dengan menyatakan ia adalah wajar memandangkan tempoh parkir yang lama di KLIA
Insiden itu membuka mata ramai mengenai kos tinggi ketika menggunakan perkhidmatan parkir di lapangan terbang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna disarankan mempertimbangkan pilihan lain seperti perkhidmatan e-hailing atau parkir alternatif untuk mengelakkan menerima kejutan sama.
Menyedari masalah yang timbul itu, Namida Car Park kini menawarkan parkir alternatif dengan harga berpatutan yang terletak di Kota Warisan pada harga parkir RM9 sehari.
Pengurusnya, Muhamad Ikmal Nordin berkata, perkhidmatan itu mula beroperasi sejak Januari lalu di mana idea itu timbul selepas orang ramai sering membangkitkan pertanyaan sama ada terdapat parkir yang lebih murah di sekitar KLIA.
Apatah lagi, menurut beliau, pihaknya memiliki kawasan parkir luas yang mampu menampung hingga 200 kereta sehari kerana pada masa sama turut mengendalikan perkhidmatan perunding perkahwinan dan acara.

“Kami turut mengendalikan pakej perkahwinan dan memiliki dewan besar di mana pada hari biasa kawasan parkir ini agak lengang berbanding pada hari minggu yang penuh dengan acara perkahwinan.
“Justeru, inisiatif diambil untuk menggunakan kesempatan kawasan parkir sedia ada ini dengan membuka perkhidmatan parkir alternatif kepada mereka yang mencari dengan harga jauh lebih murah daripada parkir di lapangan terbangan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Ikmal, 25, menambah, keselamatan kenderaan di parkir itu juga dijamin tinggi kerana kawalan ketat dilakukan 24 jam oleh tiga kakitangan bagi mengelakan sebarang tidak diingini.
Menurutnya, selain parkir alternatif itu, Namida Car Park juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke KLIA1 dan KLIA2 serta juga ke Stesen ERL Salak Tinggi mengikut keperluan pelanggan.
“Kami melihat bisnes parkir alternatif ini memiliki potensi yang besar kerana modelnya masih baharu di mana berlaku persaingan sihat apabila masih kurang lagi operasi sama di kawasan berdekatan.
“Difahamkan, ada yang yang menawarkan perkhidmatan parkir sebegini namun kebanyakan terlebat di Nilai berbanding Kota Warisan yang jarak ke KLIA mengambil masa tidak sampai 10 minit.
“Malah pelanggan juga tidak perlu risau menunggu lama sebaik tiba di lapangan terbangan kerana kami turut menyediakan perkhidmatan penghantaran pergi dan balik ke kawasan parkir,” katanya yang boleh dihubungi laman sosial TikTok Hexman Logistics atau di talian +60 13-443 0812 untuk sebarang pertanyaaan dan tempahan parkir. – MalaysiaGazette

















