ling tian soon
Ling Tian Soon

JOHOR BAHRU – MCA tidak akan menjadi ‘pak turut’ dalam kerajaan Perpaduan tetapi akan terus berjuang untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Oleh itu, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon menegaskan, pihak lain tidak perlu sibuk dan pendirian parti berkenaan adalah menyokong kerajaan Perpaduan tetapi bukan membuta tuli apabila menyentuh kepentingan rakyat.

“Sebagai Ketua Pemuda MCA, saya ingin menegaskan MCA menyokong Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, sokongan ini tidak bermakna kami akan berdiam diri apabila berlaku ketidakadilan atau dasar yang menjejaskan rakyat.

“Kritikan yang disuarakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, adalah berdasarkan fakta dan bertujuan untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

“Misalnya, isu pemansuhan subsidi LPG yang menimbulkan kekeliruan dan beban kepada pengguna perlu dijelaskan dengan telus,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyifatkan adalah lebih baik MCA keluar sahaja daripada Kerajaan Perpaduan berikutan tindakan pemimpinnya, khususnya Ka Siong yang didakwa terus-menerus menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang tidak tepat.

Terbaharu, katanya, Ka Siong mempertikaikan pemansuhan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, sedangkan keputusan tersebut dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, yang turut melibatkan beliau sebagai anggota Kabinet.

Kenyataan itu dibuat susulan siri kenyataan dan kritikan berterusan oleh MCA terhadap Kerajaan Madani, meskipun parti tersebut masih berada dalam blok kerajaan.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, adalah tidak wajar untuk meminta MCA keluar dari kerajaan Perpaduan hanya kerana parti itu menjalankan peranan semak dan imbang.

Dalam demokrasi katanya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perlu dihormati.

“Kami akan terus bersuara demi rakyat dan memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada semua.

“MCA tidak akan menjadi ‘pak turut’ tetapi akan terus berjuang untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang,” tegasnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast