TANGKAK – Seorang pesara wanita panik apabila mendapat panggilan daripada ‘Pegawai Suruhanjaya Komunikasi Media (SKMM)’ dan ‘anggota polis’ yang mendakwanya terlibat dalam kes pelaburan dan pinjaman tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, panggilan tersebut sebenarnya adalah daripada pihak scammer yang menyamar sebagai Pegawai SKMM dan polis untuk memerangkapnya.

Beliau berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 58 tahun menerima panggilan daripada individu pada 9 Mei lalu.

Jelasnya, individu berkenaan mendakwa dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai SKMM sebelum dihubungkan kepada pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam penipuan membabitkan kes pelaburan serta pinjaman tidak wujud.

“Mangsa terus menjadi panik dan terjerat dengan taktik suspek. Suspek telah memperdayakan mangsa supaya wang dalam akaun miliknya dipindahkan ke dalam akaun lain sehingga akaun mangsa selepas diaudit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian memindahkan wang ke dalam akaun pihak ketiga dengan melakukan 16 transaksi ke dalam dua akaun berbeza yang disyaki mule account seperti diarahkan suspek pada 23 Mei lalu.

Mangsa ujar beliau, mengalami kerugian RM108,520 dan menyedari ditipu, wanita berkenaan membuat laporan polis semalam.

Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta denda dan sebatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan cara mudah dam tempoh segera.

Orang ramai juga diseru membuat semakan terlebih dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan palsu.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar sentiasa membuat semakan setelah menerima panggilan mencurigakan sebagai langkah berhati-hati. Dapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.

Sekiranya seseorang menjadi mangsa scam, Roslan mahu mereka menghubungi National Scam Response Center  (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast