KUALA LUMPUR – Polis belum menerima laporan berhubung kejadian pertikaman lidah melibatkan lelaki warga asing di sebuah stesen minta di Jalan Seremban – Kuala Pilah menghala ke Bukit Putus, di Negeri Sembilan.
Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar meminta individu yang terbabit dalam kejadian video tular kejadian itu di media sosial tampil membantu siasatan.
“Sehingga kini, tiada laporan polis yang diterima berhubung kejadian ini. Sekiranya berlaku kejadian jenayah, individu yang terbabit dalam kejadian ini diminta tampil membuat laporan,” katanya hari ini.
Menerusi video yang tular, kelihatan beberapa lelaki warga Afrika bertengkar dengan seorang lelaki dipercayai warga tempatan, namun punca sebenar pertelingkahan masih belum dapat dipastikan.
Sebuah kereta jenis Proton X50 berwarna biru yang dipercayai dipandu oleh lelaki warga asing turut dilihat dipandu secara tergesa-gesa dengan but belakang tidak bertutup.
Rakaman itu turut menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dipercayai akibat kesan pelanggaran.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut kemudiannya dilihat meninggalkan lokasi kejadian.
Ketika insiden berlaku, beberapa kenderaan pelanggan turut berada di kawasan stesen minyak terbabit untuk mengisi minyak. – MalaysiaGazette
















