KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan kesahihan proses pengampunan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.
Menurut AGC, proses itu dijalankan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan malah Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51 telah diadakan pada 16 Mei 2018, bertempat di Istana Negara dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri pada masa itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
AGC turut memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan pada ketika itu telah menasihati Seri Paduka Baginda untuk memperkenankan rayuan pengampunan penuh oleh Anwar Ibrahim, sekali gus membolehkan beliau dibebaskan serta-merta bermula tarikh mesyuarat tersebut.
“Atas nasihat Lembaga Pengampunan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberikan pembebasan serta-merta,” kata AGC.
Dalam mesyuarat itu, Peguam Negara juga telah mengemukakan pendapat bertulis seperti diperuntukkan di bawah Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.
AGC mengeluarkan kenyataan ini sebagai respons terhadap dakwaan Dr. Mahathir bahawa proses pengampunan Anwar adalah tidak sah kerana didakwa tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan seperti sepatutnya.
“AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali,” menurutnya.
Mahathir dalam satu klip video TikTok mendakwa bahawa beliau telah menandatangani surat pengampunan tanpa nasihat Apandi yang mengambil garden leave dan tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan. – MalaysiaGazette
















