Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya menangguhkan terlebih dahulu langkah penguatkuasaan tong gas petroleum cecair (LPG) ungu seiring dengan situasi semasa kos kehidupan yang dihadapi rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, langkah itu akan mencetuskan beberapa implikasi antaranya menyebabkan harga makanan melambung.

Akibatnya, ujar beliau, dua kategori pengguna utama iaitu penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja biasa akan terbeban ekoran peningkatan harga makanan tersebut.

Selain itu, katanya, kesan daripada langkah itu juga akan memberi impak tindak balas berantai yang pasti melibatkan rakyat seperti pengurangan tabungan kecemasan atau melibatkan ketidakcukupan pendapatan.

Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan berlakunya kes salah guna yang mana peniaga terpaksa memasak di premis kediaman yang tidak berdaftar sebagai perniagaan untuk mengurangkan kos.

“Ini belum lagi cadangan subsidi untuk RON95 yang akan dirasionalkan dan implikasi yang akan dihadapi rakyat.

“Kerajaan kena fikirkan mekanisme bagaimana untuk mengurangkan kos sara hidup bukan tambah kos sara hidup!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak turut mendesak kerajaan mempertimbangkan semula langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) komersial atau lebih dikenali sebagai tong gas ungu kepada peniaga khususnya pengusaha minuman dan makanan, kedai dobi dan sebagainya.

Ini kerana peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14 kilogram (kg) berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas subsidi menyebabkan peningkatan kos operasi kepada para peniaga.

Sementara itu, Tengku Azman mencadangkan supaya peniaga kecil masih dibenarkan untuk menggunakan tong gas bersubsidi tetapi harus berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui persatuan penjaja yang diiktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh mengehadkan kuota penggunaan tong gas LPG subsidi kepada peniaga makanan khususnya kepada hanya 60 tong sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast