Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPP UPM), Umar Akhtar Ab Malek.

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPP UPM) menafikan dakwaan rakaman video tular yang mendakwa Masjid UPM dijadikan lokasi karnival permainan video Mobile Legends ketika terdapat dua jenazah yang sedia untuk disolatkan.

Yang Dipertuanya, Umar Akhtar Ab Malek menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan tidak berasas yang bukan sahaja mengelirukan, malah mencetuskan salah faham terhadap pihak pengurusan masjid dan Pusat Islam UPM.

“Ia bukan sahaja telah menjejaskan reputasi masjid tetapi turut memberi imej negatif kepada universiti secara keseluruhan,” tegasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Umar menjelaskan bahawa program tersebut merupakan aktiviti pelajar yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan asalnya dijadualkan berlangsung di Bilik Smart Classroom masjid berkenaan dan bukan di ruang solat seperti yang didakwa.

Namun begitu, berlaku pertukaran lokasi ke kawasan luar bilik tersebut disebabkan kekangan ruang semasa program berjalan.

“Penting untuk saya nyatakan, tiada sebarang jenazah berada di kawasan itu sewaktu aktiviti berlangsung.

“Jenazah yang dimaksudkan hanya tiba setelah aktiviti dihentikan serta-merta bagi menghormati situasi tersebut,” tambahnya.

Sebelum ini, tular video di laman sosial yang mendakwa pelajar bermain Mobile Legends di masjid sewaktu terdapat dua jenazah yang menunggu untuk disolatkan.

Dalam pada itu, Umar tidak menafikan bahawa penganjur wajar bertanggungjawab atas pelanggaran garis panduan penggunaan ruang yang ditetapkan, namun menegaskan bahawa keadaan telah disalah tafsir.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan ke media sosial, khususnya perkara yang belum disahkan kesahihannya.

“Kami akan terus cakna dan bertanggungjawab dalam memantau serta menyokong inisiatif pelajar bagi memastikan keharmonian dan profesionalisme kampus sentiasa terpelihara.

“MPP UPM komited untuk memastikan nama baik universiti terus terjaga,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast