KENYATAAN Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkenaan kerjasama UMNO-GRS-PGRS.

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menegaskan tidak ada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, UMNO bukan pelengkap kepada pementasan yang mana parti itu sendiri tidak diberi hak menulis skripnya.

Tambah Exco Pergerakan Wanita UMNO berkenaan, parti itu juga bukan alat politik yang boleh digunakan pihak lain sewaktu lemah dan dibuang sewaktu kuat.

“Kita bukan pentaksub kuasa tetapi kita juga bukan pembeli janji palsu. Sejarah telah mencatat dan rakyat sedang menilai. Biarlah kali ini, kita tidak lagi tunduk atas nama setiakawan palsu.

“Kerana yang kita perjuangkan bukan tokoh, bukan parti tetapi maruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Musliati, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 bukan satu kemenangan yang mutlak kepada mana-mana entiti politik walaupun ada yang sejak itu mendabik dada seolah-olah kerajaan yang terbentuk adalah hasil usaha mereka semata-mata.

Dakwanya, GRS bukan dibina di atas satu blok kukuh tetapi melalui himpunan serpihan Bersatu dengan 11 kerusi iaitu PBS (7) dan STAR (6).

Namun, ujarnya, daripada serpihan itu yang membentuk sendi sebenar adalah UMNO-BN bukan sahaja daripada segi kerusi tetapi jentera, sumber dan sokongan akar umbi.

“Bersatu ketika itu masih bertatih, meminjam tenaga daripada akar yang UMNO tanam bertahun-tahun lamanya. Tapi dalam diam, tangan yang diberi berbalas racun.

“Tatkala kami bertungkus-lumus mempertahankan kerusi yang dipertandingkan, muncul pula lima calon bebas kononnya bebas tetapi bersandar pada tajaan tokoh-tokoh parti tertentu.

“Tiga daripada mereka menang bukan kerana kekuatan peribadi tetapi hasil pecah-belah undi yang disengajakan,” katanya.

Tambahnya, walaupun disabotaj daripada awal, UMNO-BN menang 14 kerusi melebihi Bersatu yang hanya menang 11 kerusi.

Ketika itu, katanya, UMNO ada hak untuk menuntut jawatan Ketua Menteri Sabah namun atas pertimbangan realiti nasional dan kesantunan politik, UMNO mengalah.

“Kita beri laluan kepada Datuk Seri Hajiji Noor bukan kerana lemah tetapi kerana kita tahu bila untuk memelihara kestabilan,” katanya.

Malangnya pengorbanan itu menjadi titik permulaan kepada siri pelanggaran janji, antaranya pada hari pertama pentadbiran GRS yang mana Ketua UMNO Sabah dijanjikan portfolio Menteri Kerja Raya.

Namun tanpa sebarang alasan rasional, ia ditukar secara sepihak kepada Menteri Kerajaan Tempatan.

“UMNO-BN telah bersabar, telah memberi peluang, telah memilih muafakat berbanding pertikaian. Tetapi kesabaran bukan lesen untuk terus dimanipulasi. Maruah bukan untuk ditawar beli.

“Dan prinsip perjuangan tidak akan ditukar dengan janji palsu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast