Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonan beliau bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Dalam kenyataan sebentar tadi, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan atau mengelak daripada penelitian undang-undang.

“Isu ini bukan soal kekebalan peribadi atau cubaan melarikan diri daripada proses undang-undang.

“Ini menyentuh integriti sistem perlembagaan negara dan keperluan untuk memastikan jawatan tinggi dalam kerajaan tidak terdedah kepada tindakan undang-undang yang mungkin bermotifkan politik, dilakukan secara strategik atau boleh mengganggu kestabilan institusi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.

Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu insiden dakwaan serangan seksual yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan komitmennya terhadap prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan keluhuran sistem demokrasi.

“Proses undang-undang akan terus berjalan dan saya akan terus menunaikan tanggungjawab saya tanpa sebarang gangguan atau kompromi,” tegasnya.

Hari ini, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.

“Persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” ujar beliau.

Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.

Mahkamah turut memerintahkan kos RM20,000 diberikan kepada Muhammed Yusoff.

Dalam permohonan difailkan firma guamannya yang baru dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, pada 23 Mei lalu, Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.

Anwar juga memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada prosiding saman itu akan melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. -MalaysiaGazette

[KEMAS KINI] Anwar gagal rujuk 8 persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Permohonan Anwar Tiada Merit, Kes Yusoff Rawther Diteruskan 12 Jun – Peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast