KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Jun 2025 sebagai tarikh keputusan permohonan penghinaan ex parte yang difailkan Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, hari ini.
Pendengaran permohonan dua syarikat itu dibuat di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain kira-kira dua jam setengah sambil mengakui kes itu “tidak rumit”.
Hydroshoppe dan Menara Kuala Lumpur diwakili peguam Vinayak Sri Ram, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan dalam prosiding yang berlangsung pada sebelah petang tadi.
Sementara itu, Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.
Permohonan itu dikemukakan dua syarikat berkenaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei lalu menolak rayuan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur dan anak syarikatnya untuk mendapatkan injuksi ad interim untuk menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn Bhd. – MalaysiaGazette
















