DILI – Hubungan udara antara Malaysia dan Timor-Leste mencatat sejarah baharu apabila Batik Air Malaysia melancarkan penerbangan sulung terus dari Kuala Lumpur ke Dili, menjadikannya syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang menghubungkan kedua-dua ibu negara secara langsung.
Ketibaan pesawat Boeing 737 dari Kuala Lumpur itu disambut meriah dengan tradisi tembakan air oleh jentera bomba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato, disusuli sambutan kebudayaan penuh istiadat oleh pihak berkuasa tempatan.
Wartawan MalaysiaGazette turut berada di lapangan menyaksikan detik bersejarah ini yang turut disertai wakil media lain dan delegasi khas dari Malaysia.
Majlis ketibaan tersebut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Sarjit Singh, wakil Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy iaitu Bavani Veeraih serta Pengarah Jeneral Pelancongan Timor-Leste, Antonio da Silva.
Para penumpang turut menerima beg cenderahati sebagai tanda penghargaan dan sambutan mesra rakyat Timor-Leste.

Laluan ini akan beroperasi dua kali seminggu setiap Isnin dan Jumaat dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan masa penerbangan sekitar empat jam 15 minit.
Penerbangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong, malah memperkukuh hubungan perdagangan, pendidikan dan diplomasi antara kedua-dua negara.
Menurut Amarjit, laluan ini amat dinantikan oleh komuniti ekspatriat, warga Timor-Leste di Malaysia, dan sektor korporat kerana ia memudahkan pergerakan dan memperluaskan jaringan serantau.
“Ia membuka akses kepada lebih banyak peluang pendidikan, ekonomi dan pelancongan bagi kedua-dua negara, dan pada masa yang sama, memudahkan hubungan orang ke orang,” katanya kata ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Chandran Rama Muthy menyifatkan pelancaran ini sebagai simbol komitmen berterusan syarikat dalam merapatkan hubungan antara negara dan menyediakan akses penerbangan kepada pasaran yang sebelum ini kurang diliputi.
“Batik Air berbangga menjadi jambatan udara pertama yang menghubungkan Malaysia dan Timor-Leste secara langsung. Ini bukan sekadar pelancaran laluan, tetapi satu langkah strategik dalam menghubungkan komuniti serantau dengan dunia luar,” ujarnya.

Beliau berkata, melalui KLIA sebagai hab utama, pelancong dari Dili kini boleh mengakses lebih 60 destinasi di 20 negara termasuk Asia, Timur Tengah dan Australia.
Tambah beliau lagi, Batik Air komited untuk menyokong pertumbuhan negara-negara sedang membangun seperti Timor-Leste, selaras dengan aspirasi serantau untuk meningkatkan mobiliti dan keterangkuman.
Dalam pada itu, Antonio da Silva berkata, kehadiran Batik Air di Dili melengkapkan rangkaian penerbangan antarabangsa yang sedia ada dan bakal merancakkan sektor pelancongan negara.
“Timor-Leste semakin dikenali sebagai permata baharu pelancongan Asia Tenggara. Kehadiran laluan dari Kuala Lumpur akan memperkenalkan lebih ramai pelancong kepada kekayaan budaya Timor, warisan Portugis serta keindahan semula jadi yang belum tercemar,” ujarnya.

Katanya, negara ini terkenal dengan aktiviti menyelam, pemantauan ikan paus dan lumba-lumba, serta pelbagai kampung tradisional yang autentik dan menarik untuk diterokai.
Penumpang yang memilih untuk terbang bersama Batik Air boleh menikmati pelbagai pilihan tambang termasuk Ekonomi Super Saver, Value, Flexi serta Kelas Perniagaan, bergantung kepada keperluan dan keselesaan.
Dengan pelancaran laluan baharu ini, Batik Air bukan sahaja meluaskan kehadirannya di rantau Asia Tenggara, malah turut menyumbang secara langsung kepada matlamat memperkukuh hubungan diplomatik dan pembangunan ekonomi serantau. -MalaysiaGazette
















